IPOH – Pasukan bomba memberikan bantuan bagi membuka pintu di sebuah rumah yang berkunci selepas dilaporkan terdapat seorang lelaki warga emas tidak sedarkan diri dalam bilik air di Taman Melor, dekat sini, pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung operasi berkenaan pada jam 8.06 malam.
Katanya, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh kemudian diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati pihak polis telah berada di lokasi kejadian dan setelah pintu berjaya dibuka, terdapat seorang mangsa lelaki berusia 60 tahun ditemui tidak sedarkan diri di dalam bilik air.
“Pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi kejadian telah memeriksa mangsa dan mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia,” katanya di sini.
Sabarodzi berkata, operasi membuka pintu di rumah yang berkunci tersebut telah menggunakan peralatan khas.
Kata beliau, selepas mangsa disahkan meninggal dunia, anggota bomba membantu mengangkat mayat dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I TBK Shaharizala Abu Hanifah itu tamat pada jam 9.08 malam. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Warga emas ditemukan meninggal dunia di ruang tamu rumah berkunci


