IPOH – Seorang pengarah syarikat kerugian RM1.47 juta akibat terpedaya dengan skim pelaburan perniagaan tidak wujud secara dalam talian.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, siasatan awal mendapati, mangsa berusia 75 tahun itu telah terpedaya untuk membuat pelaburan tersebut setelah dihubungi seorang wanita tidak dikenali pada 15 April lalu.
“Wanita terbabit menawarkan mangsa menjadi rakan kongsi sebuah syarikat untuk membeli barang daripada satu syarikat lain di luar negara.
“Setelah mangsa membuat semakan status syarikat tersebut, didapati ia telah beroperasi sejak tahun 1989 dan dia bersetuju untuk menjadi rakan kongsi.
“Seterusnya, mangsa diminta untuk memuat turun satu aplikasi menjual barangan jenama mewah yang sekiranya pelanggan membeli barang, mangsa hanya perlu membayar dengan harga tersebut dan akan mendapat komisen sebanyak 30 peratus.
“Mangsa kemudian telah membayar wang pendahuluan sebanyak RM22,122 pindahan wang ke atas akaun bank sebuah syarikat,” katanya dalam satu kenyataan malam Selasa.
Beliau berkata, mangsa yang percaya dengan pulangan tersebut, telah memasukkan wang berjumlah RM1,470,734 ke dalam enam akaun bank berbeza atas nama syarikat secara pindahan dalam talian dan ke kaunter bank antara 17 April hingga 6 Mei lalu.
“Bagaimanapun, selepas tidak menerima sebarang pulangan, mangsa berasa telah ditipu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada 25 Mei,“ ujarnya,
Sehubungan itu, Noor Hisam menasihatkan orang ramai supaya supaya berwaspada jika ada pihak yang mempromosikan pelaburan yang menjanjikan pulangan terlalu tinggi.
“Semak maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai seperti Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan agensi berkaitan sebelum membuat sebarang pelaburan,“ tegasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Polis tumpas skim penipuan pelaburan, rampas aset bernilai bilion ringgit