IPOH – Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah bertekad untuk memperkasa peranan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada seluruh warga kota.
Justeru katanya, warga kerja MBI harus memastikan agar setiap perkhidmatan dapat disampaikan dengan baik agar penduduk Ipoh dapat merasakan tahap kepuasan tinggi terhadap MBI.
“Saya berharap pegawai dan anggota MBI sentiasa sedar bahawa kita adalah pemegang amanah yang pertamanya daripada Allah SWT.
“Maka sudah pasti kita mahukan rezeki yang kita dapat daripada tugas yang kita jalankan selama ini adalah halal. Bagi saya rezeki yang halal akan membentuk jati diri dan integriti diri kita dan pembentukan keluarga yang bahagia.
“Seterusnya kita juga perlu sedar bahawa tugas yang diamanahkan ini adalah untuk kesejahteraan warga kota Ipoh. Kerana warga kota Ipoh adalah majikan kita yang sebenarnya, kerana merekalah yang membayar gaji kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh MBI April 2025 di Dewan Mesyuarat MBI, dekat sini, pada Rabu.
Zamakhshari yang juga Bekas Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Persediaan Bencana (Dasar) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dilantik sebagai Datuk Bandar Ipoh pada 16 April lalu.
Penyerahan watikah pelantikan itu telah diserahkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kepada beliau.
Zamakhshari turut pernah memegang beberapa jawatan di persekutuan dan negeri termasuk Pegawai Daerah Hulu Perak,Gerik dan merangkap Yang DiPertua Majlis Daerah Gerik serta Penolong Pengarah Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Perak.
Selain itu Zamakhshari menambah, beliau mahu memastikan tanggungjawab utama asas MBI atau ‘back to basic’ dapat diberi keutamaan seperti membabitkan pengurusan sampah, longkang dan rumput serta penyelenggaraan kemudahan awam sedia ada.
Beliau juga berharap agar setiap perkhidmatan yang diberikan warga MBI dapat dilaksanakan dalam kadar waktu yang ditetapkan, di samping setiap projek yang ingin dilaksanakan dapat berjalan lancar.
Dalam pada itu Zamakhshari juga menzahirkan harapan agar warga kota Ipoh dapat bersama-sama dengan warga kerja MBI dalam usaha membangunkan bandar raya ini.
“Tanggungjawab membangunkan Bandaraya Ipoh bukanlah terletak di bahu MBI semata-mata. Ia adalah tanggungjawab bersama keseluruhan warga kota.
“Sehubungan dengan itu, kerjasama yang erat antara MBI dan warga kota adalah amat penting dalam memastikan Bandaraya Ipoh menjadi sebuah ‘Bandaraya Sejahtera’,” katanya lagi.
Pada masa sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Perak atas kepercayaan yang diberikan untuk memegang jawatan Datuk Bandar Ipoh ke-13.
Dalam perkembangan lain Zamakhshari memberitahu, MBI telah mengeluarkan notis tunggakan cukai taksiran kepada 622 tanah kosong dengan hasil kutipan sebanyak RM178,420.
Justeru Datuk Bandar Ipoh berkata, kesemua pemilik tanah yang mempunyai masalah tunggakan cukai taksiran itu diminta untuk berbincang dengan MBI bagi mendapatkan kaedah bayaran yang sesuai supaya tiada tindakan sitaan dikenakan.
“Saya berharap agar wargakota Ipoh lebih serius dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai demi kepentingan dan kesejahteraan bersama,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: