Warga Singapura penggal kepala isteri, kerat anak dipenjara 72 tahun

MELAKA – Seorang warga Singapura dijatuhi hukuman penjara 72 tahun dan 24 sebatan selepas didapati bersalah membunuh isteri dan anak tirinya dengan cara mengerat badan dan kepala wanita itu sebelum menyembunyikanya di atas siling rumah, enam tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Anselm Charles Fernandis menjatuhkan hukuman itu ke atas Shahrul Nizam Zuraimy, 36, diakhir kes pembelaan pembunuhan kejam itu sebelum memerintahkan hukuman penjara 36 tahun bagi setiap kesalahan dan 12 sebatan.

Hukuman diarahkan dijalankan berasingan bermula dari tarikh ditangkap pada 11 Oktober 2019.

Beliau membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan hujahan daripada peguam tertuduh, faktor pemberatan yang dikemukakan oleh timbalan pendakwa raya dan keterangan impak adik dan ibu dan kakak mangsa.

Menurutnya, tidak dapat dinafikan apa yang dilakukan tertuduh adalah kejam dengan meletakkan kepala isterinya di atas siling rumah termasuk mengerat dan membuang bahagian tubuh kedua-dua mangsa di kawasan berbeza.

“Kepala mangsa dibungkus dan disembunyikan di atas bumbung yang bagi pendapat saya adalah untuk mengelak bau atau darah dan mahkamah juga telah mengambil kira tindakan tertuduh membuang sebahagian tubuh mangsa di kawasan semak.

“Tiada alasan munasabah diberikan dan tindakan itu seolah-olah mahu menyembunyikan identiti kedua-dua mangsa, oleh itu mahkamah mendapati tertuduh bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut,” katanya .

Anselm Charles kemudian menjatuhkan hukuman 36 tahun penjara dan 12 sebatan bagi setiap pertuduhan.

“Berkaitan hukuman penjara saya bersetuju dengan pihak pendakwa, bahawa ia berjalan berasingan daripada tarikh mula ditangkap pada 11 Oktober 2019,” katanya.

Berdasarkan dua pertuduhan, lelaki itu didapati telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Norfazera Bidin dan Muhammad Iman Ashraf Abdullah masing-masing berumur 27 tahun dan 11 tahun ketika kejadian.

Kesalahan itu dilakukan di rumah bernombor di Jalan MJ 10, Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, dalam daerah Melaka Tengah di sini antara jam 6 petang 6 Oktober 2019 hingga 7.30 pagi 7 Oktobr 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Terdahulu, ibu dan kakak Norfazera dalam kenyataan impak sebelum hukuman dijatuhkan mahu nyawa dibalas nyawa atau tertuduh digantung sampai mati mengambil kira trauma di hadapai selain cara pembunuhan sangat kejam dilakukan tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik dan Nur Syazwanie Marizan kemudian memohon hukuman gantung sampai mati mengambil kira kepentingan awam, jumlah mangsa, tahap kekejaman dan fakta kes.

Namun sekiranya hukuman mati tidak sesuai, maka hukuman penjara bagi setiap kesalahan dicadangkan secara berasingan.

Tertuduh diwakili peguam Andrew Lourdes dan Chua Yong Yi turut merayu anak guamnya diberikan peluang kedua dengan alasan telah insaf dan menyesal dengan perbuatannya.

Perbicaraan kes yang menggemparkan negara ini bermula 11 Jun 2020 dengan 26 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI