Waris perlu peka status tanah wakaf – Timbalan Mufti Perak

TAIPING – Waris kepada mana-mana pewakaf diminta untuk lebih peka serta tidak mengambil mudah terhadap tanah wakaf agar tidak lagi timbul sebarang konflik isu pemilikan seperti yang berlaku di Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, situasi sedemikian sering berlaku apabila waris tidak mengetahui lokasi sebenar tanah yang diperoleh melalui pembahagian pusaka, sama ada ia melibatkan kawasan masjid, surau mahupun sekolah agama.

“Kemungkinan perkara seperti ini berlaku kerana pewakaf hanya melakukannya secara lisan, tanpa sebarang proses dokumentasi rasmi. Dan apabila ia diperoleh oleh waris, maka waris tidak tahu.

“Oleh itu mereka sepatutnya pergi tengok kawasan tanah itu, dan jika di atasnya ada dibina masjid, surau atau sekolah agama, berunding dengan pihak berkuasa agama, dan ramai pihak boleh membantu dalam soal ini.

“Jangan buat sebarang tindakan yang mengundang kecaman masyarakat. Kadang-kadang masyarakat tak tahu dan mereka berhak untuk menyuarakan rasa tak puas hati sebab sama-sama (masyarakat dan waris) tak tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Jubli Perak Masjid Kampung Air Kuning, dekat sini pada Ahad.

Menurut Zamri, isu pindah milik tanah seperti yang berlaku ke atas sebahagian kawasan Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu bukan kes terpencil, sebaliknya ia telah berlaku di banyak tempat atas pelbagai faktor.

Justeru beliau menyarankan agar pengurusan institusi agama untuk menyemak semula status tanah masing-masing, dan sekiranya ia dibangunkan atas tanah wakaf, maka perlu segera didaftarkan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Tambah Zamri, secara hukum fiqah pula, sesuatu harta yang telah diwakafkan tidak boleh dijual, dihadiahkan mahupun diwariskan kembali kepada pihak lain.

“Sebab itu kita selalu ingatkan, kalau ada sebarang urusan bab wakaf ini, rujuk dengan Jabatan Mufti atau Mahkamah Syariah.

“Kadang-kadang mungkin kita terlupa tentang hukum-hakam (dalam agama), dan kita sudah ada badan berkuasa agama yang boleh membantu menyelesaikan masalah seperti ini,” jelasnya lagi.

Pada masa sama Timbalan Mufti Perak juga meminta agar umat Islam di negeri ini untuk menunjukkan teladan yang baik dalam pengurusan tanah wakaf dan premis ibadah agar tidak timbul persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau lagi, Jabatan Mufti dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) kini lebih teliti dalam menyemak status tanah bagi projek wakaf yang baharu.

“Setiap permohonan masjid dan surau di Perak sebelum diluluskan oleh MAIPk, mesti perlu melalui proses semakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri.

“Salah satu kriteria untuk diluluskan adalah perlu melihat tentang status sebenar tanah wakaf berkenaan,” katanya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Masjid Jamek Ar-Ridzuan Simbol Penyatuan Ummah

Kutipan derma tanah wakaf Masjid Ar-Ridzuan ditutup secara rasmi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI