GERIK – Mengangkat tema warisan nelayan darat, rumah sukan Kampung Perah di sini, berjaya meraih gelaran Rumah Sukan Terbaik sempena karnival Sukan Rakyat@DUN Temengor yang diadakan di sini pada Sabtu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Perah, Mohd Asri Mohd Yusof berkata, kejayaan tersebut dicapai hasil kesepakatan ahli jawatankuasa dan penduduk kampung yang berganding bahu menjayakan persiapan sejak peringkat awal.
Menurutnya, pendekatan bekerja secara berpasukan selaras dengan perumpamaan ‘Sepakat Membawa Berkat‘ menjadi faktor utama kejayaan yang diraih.
“Keistimewaan rumah kami dihasilkan daripada barang-barang antik. Kami kutip barang-barang antik orang kampung. Salah satu sebabnya kami memilih (ikan) ‘Lampam Jawa’ adalah kerana ia hasil daripada nelayan darat.
“Kampung saya adalah salah satu pusat pengeluaran hasil ikan darat. Peralatan yang dipamerkan adalah peralatan nelayan seperti bot, jala, pukat dan sebagainya,“ katanya ketika ditemui pada karnival tersebut di Lapangan Terbang Gerik di sini pada Sabtu.
Katanya, perancangan rapi termasuk beberapa siri mesyuarat serta pengumpulan bahan hiasan bertemakan warisan telah diadakan sebagai persediaan untuk menyertai karnival tersebut.

“Persediaan itu sudah lama, daripada bermulanya kami bermesyuarat sehinggalah kami selesai dua kali bermesyuarat. Kami mengumpul barang-barang yang dipanggil antik dan membina khemah ini sehingga berjaya.
“Alhamdulillah, kami mempunyai kerjasama yang sangat baik yang secara tidak langsung memudahkan tugas saya sebagai pengerusi,“ ujarnya.
Mengulas perancangan masa depan, Mohd Asri berharap kejayaan yang diraih dapat dipertingkatkan ke peringkat lebih tinggi.
“InsyaAllah untuk masa depan, harapan saya adalah kemenangan yang lebih tinggi lagi. Mungkin di peringkat yang lain pula dan kami akan buat yang terbaik,“ katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Hulu Perak, Norhasanat Mansyurdin, menyifatkan kejayaan mereka dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan dalam acara sukan rakyat sebagai satu kejayaan yang membanggakan.
Ujarnya, JAKOA Hulu Perak mencatat kejayaan dalam beberapa acara sukaneka melibatkan pelbagai peringkat umur antaranya kukur nyiur dan batu seremban.
“Alhamdulillah, pertama sekali saya nak ucapkan saya memang terkejut JAKOA boleh menang untuk acara sukan rakyat secara keseluruhannya.
“Seterusnya kami nak mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Salbiah Mohamed atas penganjuran sukan rakyat di sini,“ ujarnya.
Dia turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan dan masyarakat Orang Asli yang terlibat serta menyatakan komitmen untuk mengekalkan momentum kejayaan pada masa hadapan.

“Saya juga mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Tok Batin dan juga masyarakat kampung Orang Asli Kampung Ulu Gerik.
“InshaAllah tahun depan kalau kami masuk lagi, kami akan jemput kampung lain pula dan kami akan come back stronger untuk jadi juara dan mungkin boleh menang setiap kategori,“ katanya.
Norhasanat berkata, penganjuran karnival kali kedua ini menunjukkan peningkatan ketara dari segi pengurusan dan pelaksanaan program.
Tambahnya, kemenangan tersebut mendorong pihak jabatan dan masyarakat setempat untuk merangka strategi lebih mantap bagi menghadapi penganjuran akan datang.
Kesemua pemenang menerima hadiah wang tunai dan hamper. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


