GERIK – Umum mengetahui kuning merupakan warna Jabatan Kerja Raya (JKR), namun berbeza pada Sukan Rakyat@DUN (Dewan Undangan Negeri) Temengor jabatan kerajaan itu menjadi serba hijau.
Keunikkan itu menjadi antara tarikan kepada pengunjung apabila melihat tulisan JKR Hulu Perak, tetapi hiasan khemah dan pakaian serba hijau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Datuk Salbiah Mohamed berkata, sebanyak 19 buah rumah sukan diwujudkan bagi menjayakan Sukan Rakyat@DUN Temengor yang melibatkan penduduk kampung serta agensi dan jabatan kerajaan.
Menurut beliau, bukan mudah menentukan rumah sukan dengan warna yang perlu disediakan selain terdapat agensi dan jabatan yang cukup sinonim dengan warna rasmi masing-masing.
“19 buah rumah sukan dari kampung-kampung dalam DUN Temengor dan juga agensi serta jabatan kerajaan perlu mencabut undi bagi menentukan warna rumah sukan masing-masing.
“Inilah cabaran paling sukar untuk tentukan warna sukan dan kerana itu kita boleh lihat JKR biasanya warna kuning bertukar menjadi hijau,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada MG Perak selepas hadir pada Sukan Rakyat@DUN Temengor di Lapangan Terbang Gerik, di sini, pada Rabu.
Tambah beliau, dianggarkan hampir 5,000 pengunjung terdiri daripada peserta dan orang ramai hadir pada program sukan rakyat tersebut.
“Pelbagai acara sukan dipertandingkan antaranya tarik tali, sepak raga, anyam ketupat, congkak, kukur kelapa, acara kanak-kanak serta warga emas dan kenduri rakyat.
“Menariknya juga kita mengorbankan tiga ekor lembu bagi kenduri rakyat yang dimasak oleh Batalion Ke-4 Rejimen Sempadan, Kem Gerik,” katanya.
Salbiah berkata, penganjuran program tersebut bertujuan mendekatkan lagi komuniti setempat dengan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan terutamanya di bawah portfolio beliau selaku Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak.
“Namanya pun sukan rakyat sudah tentu ia menjadi platform yang menghubungkan rakyat dan agenda diperingkat daerah apabila ketua-ketua kampung dapat mengenali ketua jabatan dan pengarah agensi.
“Saya juga berharap 2025 ini Gerik dapat dibangunkan bersama-sama bukan sahaja melibatkan wakil rakyat, agensi dan jabatan tetapi juga masyarakat,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
MGPerak: Sukan Bentuk Identit Bangsa Kuat Dan Bersatu – Saarani