Wartawan ditahan disyaki bangkit isu berbaur perkauman

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang wartawan bagi membantu siasatan berhubung penularan rakaman video yang membangkitkan isu perkauman dalam satu wacana mengenai Palestin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata suspek yang berusia 30 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, kira-kira 12 tengah malam tadi.

Beliau berkata siasatan dijalankan susulan pertanyaan wartawan Free Malaysia Today (FMT) berkenaan kepada ahli politik United Kingdom, George Galloway, dalam wacana terbuka pada 12 Jan lepas itu, disyaki berbaur perkauman dan hasutan.

“Dalam sesi tersebut, wartawan berkenaan telah membuat pertanyaan mengenai isu Palestin dengan membandingkannya dengan keadaan perkauman di Malaysia.

“Setakat ini, sebanyak tiga laporan polis telah diterima berkaitan isu yang sama, sekali gus mencerminkan kegusaran orang awam terhadap insiden berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kumar berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

PDRM akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang dipercayai menimbulkan hasutan serta permusuhan dalam kalangan masyarakat.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau kandungan di ruang awam mahupun media sosial demi memelihara ketenteraman awam.

Semalam, wartawan berkenaan memohon maaf secara terbuka berhubung tindakannya dan amat kesal terhadap soalan itu, selain mengakui soalan berkenaan kurang relevan dengan acara dan tidak mengambil kira sensitiviti topik.

Dia memohon maaf kerana menyebut kaum Cina dan Melayu dalam soalan itu, dengan menegaskan bahawa rujukan tersebut tidak perlu dan sepatutnya dielakkan.

Kontroversi itu tercetus daripada ceramah awam berkenaan yang menampilkan ahli politik British, George Galloway, yang soalan diajukan menarik kritikan meluas di media sosial.

Sementara itu, peguam mewakili wartawan berkenaan Rajsurian Pillai berkata anak guamnya direman selama sehari dan dijangka dibebaskan pada petang ini selepas selesai memberikan keterangan.

Difahamkan wartawan berkenaan telah pun meletakkan jawatan.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI