PERSIDANGAN Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 kali ketujuh yang dianjurkan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) pentas terbaik dalam mengutarakan perbincangan berhubung isu yang menyelubungi dunia Islam kontemporari.
Mengangkat tema ‘Berdiri Bersama: Umat Islam dan Kemanusiaan Sejagat’, memasuki hari kedua penganjuran ia telah berjaya menarik kehadiran lebih daripada 2,000 peserta tempatan dan antarabangsa.
Program yang mengumpulkan 38 pembentang pelbagai bidang kepakaran, profesion dan negara itu mendapat reaksi positif baik, khususnya daripadas pembentang dan peserta luar negara.
Tokoh Politik Singapura, Amrin Amin yang pertama kali menyertainya berkata, usaha yang digerakkan USAS bersama Kerajaan Negeri Perak itu penting dalam pembangunan umat Islam sejagat.
Beliau yang juga Ketua Korporat Pembangunan Yayasan Temasek memberitahu, WCIT juga mampu menjadi ruang kepada golongan muda untuk memberi pandangan dan menerima input berkenaan isu semasa daripada pelbagai sudut.
“Saya tabik dengan usaha USAS dan juga peserta dalam kalangan anak muda yang terlibat dalam bertanya soalan dan berkongsi pandangan melalui perspektif mereka.
“Pada pandangan, ia adalah satu perkara sihat kerana golongan muda masa kini hidup dalam konteks media sosial yang memungkinkan sesetengah daripada mereka berpandangan sempit terhadap isu global.
“Justeru, persidangan ini dilihat mampu mengarah atau melakar langkah seterusnya kepada anak muda hasil daripada sesi-sesi perbincangan yang diadakan tiga hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi pembentang pada WCIT di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, dekat sini, pada Selasa.
Amrin antara empat speaker yang terlibat dalam sesi pembentangan bertajuk ‘The Rule of Law’, bersama Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum; Professor Pelawat ISTAC-UIAM yang juga Presiden Institut Maqasid Global, Dr Jasser Auda serta Kursi Tunku Abdul Rahman di Universiti Malaya, Profesor Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi.
‘Kalau bersalin, cari bidan’
Mengulas lanjut, Bekas Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Singapura itu berkata, persidangan itu juga disifatkan sebagai platform terbaik kepada mana-mana pihak yang mahu mendapatkan pandangan daripada pakar khususnya berkaitan dengan perkembangan Islam.
“Ada pepatah orang lama menyebut, ‘Kalau bersalin, cari bidan’. Ia mengajar kita untuk mempelajari sesuatu perkara daripada pakar yang berkaitan dengan bidangnya.
“Oleh itu, WCIT 2024 adalah wadah yang terbaik dan ia seperti ruang selamat untuk kita saling bertukar-tukar fikiran dalam isu-isu yang mencabar seperti dalam soal ekonomi, politik, budaya dan sebagainya,” katanya.
Walau merentas lautan lebih daripada 3,000 kilometer, kehadirannya sebagai peserta ke persidangan itu disifatkan sebagai satu perkara positif tatkala menerima pelbagai pengetahuan baharu berkenaan perkembangan dunia Islam.
Timbalan Naib Canselor Universiti Islam Maldives, Ahmed Ameen Mohamed berkata, disebalik kerencam konflik yang sedang melanda sebahagian besar negara Islam, kesepaduan umat itu penting.
Jelas beliau, ini kerana semangat perpaduan umat Islam merentasi mazhab diperlukan bagi memastikan kekuatan umat itu dapat dibina.
“Dengan platform melalui persidangan seperti WCIT 2024, saya percaya ia bukan sahaja dapat membuatkan kita lebih memahami antara sesama Islam, malah ia dapat melahirkan sifat toleransi kepada masyarakat bukan Islam yang lain.
“Pelbagai ilmu yang dapat diperoleh melalui sesi pembentangan dan perkongsian pada acara itu dan ia juga boleh diaplikasikan kepada negara-negara berada dalam situasi pelbagai kaum dan budaya,” katanya lagi.
Sepanjang dua hari WCIT 2024 berlangsung, pelbagai isu telah disentuh pembentang termasuk berkaitan isu pendidikan, kemanusian, ekonomi, perundangan, politik global, serta tidak ketinggalan hal kekejaman zionis Israel terhadap umat Islam di Genting Gaza. – MG Perak
Artikel Berkaitan: