WCIT platform terbaik bincang permasalahan dunia Islam – Jusuf Kalla

IPOH – Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) adalah platform terbaik dalam membincangkan permasalahan yang berlaku dalam dunia Islam.

Bekas Naib Presiden Indonesia, Muhammad Jusuf Kalla berkata, persidangan itu merupakan contoh terbaik buat negara-negara Islam lain dalam mempromosikan dialog intelektual dan pertukaran idea pada peringkat global.

“Oleh itu dunia Islam memerlukan untuk kita sentiasa bersatu dan mengutamakan prinsip kemanusiaan antara satu sama lain.

“Justeru, umat bukan hanya harus berbicara tentang fikah, tetapi juga tentang muamalah supaya ada suatu hubungan baik sesama manusia,” katanya.

WCIT platform terbaik bincang permasalahan dunia Islam Jusuf Kalla persidangan umat
Mantan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla ketika sidang media selepas pembentangan sesi Sidang Diraja pada Majlis Perasmian Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 29 JULAI 2024.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada WCIT 2024 Kali Ketujuh di Pusat Konvensyen Casuarina Meru Raya, dekat sini, pada Isnin.

Persidangan bertemakan ‘Berdiri Bersama: Umat Islam dan Kemanusiaan Sejagat’ itu disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; serta Naib Canselor USAS, Profesor Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof.

Dalam persidangan itu, Jusuf mengambil bahagian pada pembentangan sesi Sidang Diraja bersama tiga tokoh pemimpin negara lain.

Mereka adalah Menteri Hubungan dan Kerjasama Antarabangsa Afrika Selatan, Dr Naledi Pandor; bekas Menteri Hal Ehwal Luar Singapura, George Yeo dan Profesor Gerges A Fawaz dari London School of Economics and Political Sciences.

WCIT platform terbaik bincang permasalahan dunia Islam Jusuf Kalla persidangan umat
Mantan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla bersama tiga tokoh pemimpin negara lain iaitu Menteri Hubungan dan Kerjasama Antarabangsa Afrika Selatan, Dr Naledi Pandor; George Yeo (bekas Menteri Hal Ehwal Luar Singapura) dan Profesor Gerges A Fawaz dari London School of Economics and Political Sciences ketika pembentangan sesi Sidang Diraja pada Majlis Perasmian Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 29 JULAI 2024.

Dalam pada itu, Jusuf yang pertama kali menyertai persidangan itu menyarankan untuk ia diteruskan pada masa hadapan kerana ia penting untuk pembangunan umat Islam.

Ketika sesi Sidang Diraja, Jusuf menekankan bahawa ketika ini dunia berdepan dengan pelbagai konflik yang dikaitkan dengan negara Islam termasuk di Gaza, Libya dan Yaman.

“Hanya tinggal kita negara-negara Islam yang memang masyarakat Islam bersatu untuk mencegah konflik ini dengan lebih membicarakan tentang kemanusiaan,” katanya. – MG PerakWCIT

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin Rasmi Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia 2024

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI