Yang di-Pertuan Agong mahu kempen anti buli dilaksana secara menyeluruh

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, menitahkan kerajaan melaksanakan kempen anti buli secara menyeluruh bagi membendung gejala itu sejak di peringkat sekolah rendah.

Sultan Ibrahim bertitah, budaya buli sekiranya tidak dibendung sejak dari peringkat sekolah rendah berisiko melahirkan generasi yang hilang nilai hormat dan kasih sayang sesama insan.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, buli bukan sahaja merosakkan mental dan emosi mangsa, malah boleh mengakibatkan pelbagai tragedi.

“Anak-anak perlu diberi penerangan sejak dari usia kecil mengenai perkara ini dan menerusi kempen berkenaan (anti buli)akan membimbing mereka dalam memahami erti saling hormat menghormati dan berdisiplin,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 untuk menangani buli turut membuktikan komitmen kerajaan untuk membanteras isu berkenaan secara tegas.

Baginda bertitah, usaha berkenaan turut memerlukan pendekatan merentasi kementerian dan agensi bagi memastikan jenayah buli ditangani secara menyeluruh.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil di Istana Negara, hari ini.

Ahmad Fahmi mempersembahkan komitmen kementerian dalam menangani isu buli serta tindakan-tindakan yang diambil bagi membanteras isu berkenaan, selain
taklimat pelaksanaan sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2025. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI