‘Yang penting anak dulu’ – Ibu berpantang selamatkan bayi empat hari

TAIPING – Seorang ibu dalam tempoh berpantang bersama bayi berusia empat hari antara mangsa yang terjejas dalam kejadian banjir kilat di Kampung Jelapang Jaya, Simpang, di sini malam tadi.

Nurul Najahhatul Farihah Zainal Abiddin, 26, yang baru melahirkan anak keduanya, Muhammad Adib Hazim Azan Shah pada 21 Oktober lalu berkata, hujan lebat sejak petang semalam menyebabkan air mulai naik di kawasan rumah mereka sekitar jam 8 malam.

Menurutnya, ketika kejadian dia, suami dan dua anak lelakinya berada di rumah bersama beberapa ahli keluarga yang lain.

“Kejadian berlaku sekitar jam 8 malam. Ketika itu hujan dan air di hadapan rumah berhampiran longkang mula naik.

“Pada mulanya, kami masih tidak mahu keluar rumah lagi sebab fikir air takkan naik. Lepas itu dalam jam 9 ke 10 malam tengok air di luar rumah mula bertakung.

“Selepas itu, kami segera mengemas rumah dan dalam jam 11 malam kami gerak keluar. Pada waktu itu, air sudah mencecah paras lutut suami,“ katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Nurul Najahhatul Farihah yang masih dalam tempoh berpantang mengakui keadaan kelam-kabut itu membuatkannya risau terhadap keselamatan bayi kecilnya.

“Memang kalut sikit, risaukan dia (bayi), memang kelam-kabut sikit. Masa mengemas fokus barang dia dulu. Yang penting anak, kita fikir anak dulu,” ujarnya.

Katanya, mereka baru pulang ke rumah selepas bersalin pada 21 Oktober lalu, sebelum bencana banjir berlaku pada malam berikutnya.

Walaupun masih keletihan selepas bersalin, dia bersyukur kerana bayinya berada dalam keadaan baik.

Setakat jam 2 petang, seramai 411 mangsa daripada 131 keluarga melibatkan Kampung Jelapang Jaya, Taman Simpang Makmur, Kampung Sungai Batu Teguh, Taman Simpang dan Kampung Baru Simpang masih ditempatkan di PPS tersebut. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Banjir Perak: Jumlah mangsa meningkat kepada 2,171

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI