IPOH – Penganjuran program Bacaan Yasin 7 Mubin disifatkan sebagai satu usaha berterusan yang berperanan memupuk kecintaan masyarakat terhadap al-Quran serta menyumbang kepada pengukuhan syiar Islam dalam kalangan ummah.
Isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Aezer Zubin berkata, ia melibatkan bacaan ayat-ayat Mubin dalam surah Yasin sebanyak tujuh kali sering dikaitkan dengan ikhtiar menyelesaikan hajat, memohon rezeki, penyembuhan penyakit, perlindungan diri daripada fitnah serta gangguan, selain usaha mencari barang hilang dan memanggil anak yang lari.
Menurutnya, amalan tersebut dianggap sebagai salah satu medium untuk mendekatkan diri kepada Allah serta ikhtiar supaya doa dimakbulkan, meskipun wujud perbezaan pandangan dalam kalangan para ulama berkaitan pelaksanaannya.

“Walaupun amalan ini popular, ada juga perselisihan pendapat di kalangan para ulama kita. Tapi apa-apa hal pun, saya rasa niat kita membaca al-Quran ini adalah satu niat yang baik dan juga tujuan kita adalah untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sewaktu program Bacaan Yasin 7 Mubin Perdana & Gema Haflah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Sahabat Al-Quran Kebangsaan (AQDHK), Aidasuzana Md Kassim dan Pengerusi AQDHK Perak, Nor Zihan Harun.

Dalam masa yang sama, Aezer menegaskan bahawa umat Islam masa kini berdepan pelbagai cabaran termasuk penindasan dan ancaman keselamatan akibat keangkuhan musuh-musuh Islam yang berusaha melemahkan kekuatan ummah.
“Seperti kata Profesor Muhamed Eissa dalam khutbahnya di Chicago yang menyatakan bahawa kuasa kita pada masa kini ialah perpaduan. Tuhan akan memberi lebih anugerah kepada kita apabila kita memohon kepadanya secara berjemaah,” ujarnya.
Katanya, perpaduan hanya dapat dibentuk melalui ketaatan kepada ajaran Nabi Muhammad SAW serta penghayatan terhadap al-Quran yang mampu menyatukan umat dan membekalkan kekuatan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

Sementara itu, Aezer turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program tersebut serta mendoakan supaya Pertubuhan AQDHK terus menerima keberkatan dan kekuatan untuk melaksanakan lebih banyak program pada masa akan datang.
Seramai 2,000 peserta dari seluruh Semenanjung Malaysia termasuk Sabah menyertai program berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kerajaan komited sokong hasilkan al-Quran terjemahan dalam 30 bahasa asing


