IPOH – Kerajaan Negeri Perak menerusi Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) akan menyalurkan bantuan kepada anak-anak anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam kemalangan di Teluk Intan pada 13 Mei lalu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bantuan itu antara bentuk sokongan tambahan yang sedang dipertimbangkan oleh kerajaan negeri dalam mesyuarat akan datang.
“Sebaik dimaklumkan berhubung kejadian itu, saya telah arahkan YBUDR menyalurkan bantuan segera RM1,000 kepada setiap keluarga bagi urusan pengebumian, makan minum waris dan perkara berkaitan.
“Langkah seterusnya termasuk pertimbangan bantuan pendidikan kepada anak-anak mangsa yang masih bersekolah.
“Bagi peringkat negeri kita akan bincang minggu depan dan melihat apa yang kita boleh bantu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Wilayah Ekonomi Koridor Utama (NCER) Negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru, di sini pada Khamis.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Zaki Mahyudin.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga mengambil maklum bahawa bantuan lain turut disediakan oleh kerajaan Persekutuan memandangkan FRU adalah agensi di bawah pentadbiran pusat.
Dalam kejadian jam 8.50 pagi itu, trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam menuju ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu kerikil.
Lapan anggota maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di HTI.
Lapan lagi anggota mengalami kecederaan dan dirawat di hospital sama manakala seorang lagi dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). – MG Perak
Artikel Berkaitan: