KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Ibrahim hari ini telah dimasyhurkan sebagai Penaung Utama Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM).
Pemasyhuran diadakan dalam satu istiadat penuh adat yang berlangsung di Dewan Seri Bendahara, Istana Negara.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Baginda Seri Paduka Baginda berkenan berangkat ke Istiadat Pemasyhuran yang menandakan penerimaan secara rasmi peranan penting Baginda dalam memimpin dan menyokong pergerakan pengakap di Malaysia.
Ucapan pemasyhuran Seri Paduka Baginda telah disempurnakan oleh Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Prof Datuk Dr Mohd Zin Bidin.
Pemasyhuran Sultan Ibrahim sebagai Penaung Utama PPM adalah mengikut peruntukan yang termaktub dalam Bahagian II, Seksyen 1, Perkara 11 (1), Dasar Pertubuhan Peraturan (POR) tahun 2010 yang dibaca bersama Akta Persekutuan Pengakap-Pengakap Malaysia 1968 (semakan 2016), iaitu Akta Parlimen 784.
Pada istiadat bersejarah itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut berkenan menerima persembahan Bintang Semangat Padi Emas Kelas Pertama iaitu anugerah tertinggi yang diberikan oleh Persekutuan Pengakap Malaysia.
Turut hadir menyaksikan istiadat pemasyhuran tersebut ialah Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara, Datuk Ahmad Shaziy Ismail Bakti, Naib Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara Datuk Zamani Tambichek dan Bendahari Majlis Pengakap Tan Sri Abdullah Taib.
Penglibatan Yang di-Pertuan Agong dijangka akan memberi dorongan dan inspirasi yang besar kepada ahli-ahli pengakap di seluruh negara, selaras dengan matlamat pergerakan untuk membentuk generasi muda yang berdisiplin dan berjiwa kepimpinan. – MalaysiaGazette


