YP Eye Sinar permudah pelajar B40 miliki cermin mata

MASALAH penglihatan membabitkan kanak-kanak bukanlah satu perkara baharu malah pelbagai faktor menjurus kepada berlakunya masalah tersebut.

Secara umumnya, masalah penglihatan pada kanak-kanak terbahagi kepada tiga jenis, iaitu rabun jauh, rabun dekat dan rabun silau.

Antara faktor yang menyebabkan berlakunya masalah penglihatan termasuklah penggunaan gajet dalam tempoh yang lama.

Bagaimanapun, pada masa kini, penggunaan gajet adalah satu keperluan murid sekolah dalam mengikuti pembelajaran dalam dan luar kelas.

Menyedari hakikat itu, Yayasan Perak (YP) mengambil inisiatif menerusi program YP Eye Sinar dengan memberi kemudahan bantuan cermin mata yang selesa kepada murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah.

YP Eye Sinar bantu beri cermin mata percuma pada murid B40
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hadir ke Majlis Penyerahan Bantuan Cermin Mata Yayasan Perak Eye Sinar Zon Lenggong Tahun 2024 di Dewan Serbaguna Kota Tampan, Lenggong, baru-baru ini. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR

Yayasan Perak juga telah melantik 18 buah syarikat pembekal mengikut 12 buah daerah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing.

Bantuan tersebut memfokuskan murid dan pelajar dari keluarga kurang berkemampuan khususnya dalam kalangan B40 di seluruh negeri ini.

Inisiatif yang bermula sejak tahun lalu itu mula memperuntukkan dana khusus untuk pemberian cermin mata, menggantikan bantuan kelengkapan persekolahan yang lain.

Pada tahun 2023, seramai 1,222 orang murid Tingkatan Lima dan Enam telah menerima manfaat daripada program ini dengan perbelanjaan berjumlah RM201,250.

Bagi tahun kedua program, sasaran bertumpu kepada murid sekolah rendah dan sehingga akhir Julai lalu, seramai 1,134 orang murid telah menerima manfaat dengan kos keseluruhan berjumlah RM201,643.

YP Eye Sinar bantu beri cermin mata percuma pada murid B40
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah. Foto ABDULLAH YUSOF

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, program tersebut cukup baik kerana memberi impak yang besar khususnya kepada penerima.

“Pemberian cermin mata ini sudah pasti dapat membantu masalah penglihatan murid dan secara tidak langsung meringankan beban keluarga.

“Saya berharap program yang telah berlangsung selama dua tahun ini boleh diteruskan dan mungkin boleh bekerjasama dengan pelbagai agensi lain.

“Sekiranya dilaksanakan pada masa akan datang ia akan menjadi bantuan yang dinantikan ramai. Terima kasih Yayasan Perak atas bantuan dan segalanya demi kemenjadian murid di negeri ini,” ujarnya.

YP Eye Sinar bantu beri cermin mata percuma pada murid B40
Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Temelong, Megat Muhammad Naufal Megat Muhammad Ikram menerima cermin mata baru pada Majlis Penyerahan Bantuan Cermin Mata Yayasan Perak Eye Sinar Zon Lenggong Tahun 2024 di Dewan Serbaguna Kota Tampan, Lenggong, baru-baru ini. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR

Sementara itu, murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Temelong, Lenggong, Megat Muhammad Naufal Muhammad Ikram berkata, dia bersyukur kerana menjadi salah seorang penerima bantuan YP Eye Sinar.

Katanya, pemberian cermin mata ini akan membantunya untuk lebih fokus ketika menghadapi sesi pembelajaran dan dia akan berusaha untuk mencapai keputusan cemerlang.

“Pemberian cermin mata ini, sangat membantu untuk fokus semasa sesi pembelajaran serta mendorong saya untuk belajar bersungguh-sungguh supaya impian saya tercapai,” jelasnya.

YP Eye Sinar bantu beri cermin mata percuma pada murid B40
Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Lenggong, Nur Raysha Husna Mohd Faiz (kanan) menerima cermin mata baru pada Majlis Penyerahan Bantuan Cermin Mata Yayasan Perak Eye Sinar Zon Lenggong Tahun 2024 di Dewan Serbaguna Kota Tampan, Lenggong, baru-baru ini. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR

Seorang lagi penerima, Nur Raysha Husna Mohd Faiz, 10, murid Tahun Empat SK Lenggong berasa terharu dan gembira kerana terpilih untuk menerima bantuan tersebut.

Menurutnya, bantuan berkenaan adalah pemberian yang sangat bermakna bukan saja kepada dirinya tetapi kepada murid lain yang mempunyai masalah penglihatan.

“Saya amat bersyukur kerana terpilih menerima sumbangan cermin mata ini,” katanya yang hadir ke program berkenaan bersama bapanya, Mohd Faiz Ibrahim.

Baru-baru ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan bantuan sumbangan cermin mata percuma itu kepada 69 murid sekolah rendah dan pelajar menengah dari 11 buah sekolah terdiri dalam kalangan keluarga B40 di sekitar Zon Lenggong.

Beliau menegaskan tiada lagi alasan murid untuk tidak hadir ke sekolah disebabkan tiada cermin mata dan semoga bantuan tersebut dapat memberi peluang kepada anak-anak dari golongan B40 untuk keluar dari kelompok kemiskinan tegar melalui pelajaran. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

69 pelajar zon Lenggong terima sumbangan cermin mata

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI