IPOH – Anak syarikat Yayasan Perak, YP Nominees Holdings Sdn. Bhd. (YP Nominees) menyumbang sebanyak RM2.22 juta kepada kerajaan negeri melalui aktiviti perladangan kelapa sawit pada tahun lalu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sumbangan itu merangkumi cukai, dividen dan zakat perniagaan pada sepanjang tahun 2024.
“Sumbangan itu bukan sahaja melalui sumbangan langsung kepada ekonomi negeri, tetapi juga dalam aspek kesejahteraan rakyat.
“Ia merangkumi hasil cukai sebanyak RM1.4 juta; pembayaran dividen kepada Yayasan Perak sebanyak RM500,000 dan pembayaran zakat perniagaan berjumlah RM317,377,” katanya.
Turut sama, Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr. Nasreen Khanum Nawab Khan. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 MEI 2025.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu YP Nominees di Basco Avenue @ Kepayang, dekat sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan; Pengerusi Lembaga YP Nominees, Datuk Mohd Tarmizi Idris, serta Ketua Pegawai Eksekutif YP Nominees, Rozita Ramli.
Saarani berkata, YP Nominees kini menguruskan lebih daripada 6,461.6 hektar ladang kelapa sawit di Perak dan Sarawak dengan purata pengeluaran 22 tan metrik sehektar, melebihi purata industri nasional.
Tambah Saarani, beliau turut menyokong penuh pendekatan syarikat itu yang mula memperkenalkan amalan agronomi atau kaedah sains pertanian moden dalam sektor perladangan, seperti penggunaan dron, sistem pembajaan automatik dan pendekatan lestari yang mesra alam.
Turut sama, Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr. Nasreen Khanum Nawab Khan. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 MEI 2025.
“Penglibatan lebih ramai tenaga muda melalui laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) amat penting untuk membina tenaga kerja yang mahir dan menjadikan sektor ini dihormati sebagai satu bidang kerjaya yang berwawasan.
“Saya percaya, penglibatan anak muda melalui TVET dalam sektor perladangan mampu melahirkan tenaga kerja mahir yang dinamik serta berdaya saing,” ujar beliau.
Tambah beliau lagi, peranan YP Nominees bukan sahaja sebagai penyumbang hasil, tetapi turut menjadi pemangkin mobiliti sosial melalui program-program Yayasan Perak.
“Melalui keuntungan dan dividen syarikat, lebih banyak pelajar luar bandar berjaya menjejak kaki ke universiti. Pada masa sama, lebih ramai belia mendapat latihan kemahiran, dan lebih ramai keluarga terbela dalam saat memerlukan,” kata Saarani.
Dalam perkembangan sama Nasreen Khanum berkata, premis baru bagi YP Nominees merupakan langkah strategik yang membolehkan syarikat itu beroperasi dalam suasana yang lebih kondusif.
“Premis ini bukan sekadar ruang operasi, tetapi simbol kemajuan. Ia mencerminkan lonjakan YP Nominees ke arah pemilikan aset sendiri yang lebih mampan, sejajar dengan keperluan operasi jangka panjang,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: