KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu turunkan ego dengan berjumpa dan meminta maaf kepada pemimpin parti itu yang dipecat atau digantung sekiranya benar-benar ikhlas membuka semula pintu UMNO.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata, ia adalah perkara yang sepatutnya dilakukan berbanding meminta pemimpin terlibat `menghadapnya’ ketika beliau kini dilihat terdesak dan kecewa kerana UMNO kehilangan sokongan menjelang pilihan raya umum (PRU).
“Saya saran dia (Ahmad Zahid) pergi jumpa Hishamuddin, KJ, Shahril dan lain-lain yang dia pecat, gantung dan hina dulu dan minta maaf kepada mereka sebelum jemput mereka masuk UMNO semula jika mereka mahu.
“Kamu yang pecat dan gantung mereka dulu, kini kamu perlukan mereka oleh itu kamu perlu rendah diri dan tidak boleh ego,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Ahmad Zahid semalam yang mana UMNO membuka pintu penyatuan tanpa syarat kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali bersama.
Menurut Ahmad Zahid, sempena keberkatan bulan Ramadan, UMNO melihat tempoh ini sebagai waktu terbaik untuk mempertautkan semula tali perjuangan dalam kalangan ahlinya.
Sementara itu, Isham yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO berkata, beliau berpendirian Rumah Bangsa UMNO masih dalam kerangka Kerajaan Madani kerana parti itu terus bekerjasama dengan DAP.
Dakwanya, pemimpin-pemimpin UMNO masih takut untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan meninggalkan jawatan masing-masing.
“Saya tidak rasa parti-parti Melayu akan ikut ajakan mereka untuk masuk Rumah Bangsa Madani selagi mereka sokong DAP dalam kerajaan, itu tidak masuk akal.
“You can’t have it all nor have the cake and eat it too,” katanya.
Tambahnya, UMNO juga tidak boleh mengharapkan rakyat untuk mempercayai parti itu lagi dengan mengubah haluan kononnya untuk penyatuan ketika tiba musim PRU.
“Siapa boleh jamin selepas pilihan raya dia tidak akan sokong Anwar dan DAP semula,” soalnya.
Dalam masa sama, Isham sekali lagi menegaskan pendirian bahawa beliau tidak akan menyertai semula UMNO selagi parti itu terus bekerjasama dengan DAP.
“As for me, tidak perlu jemput atau datang jumpa saya sebab saya sudah beberapa kali beritahu yang selagi dia bekerjasama dengan DAP saya tidak akan masuk UMDAP. Period.,” katanya.
Isham dipecat daripada UMNO pada 7 Disember 2023 susulan kritikan hebatnya terhadap Ahmad Zahid dan kepimpinan parti itu.
Antara kesalahan beliau termasuk mendesak Ahmad Zahid meletak jawatan serta berdebat, mengeluarkan label barua DAP dan tidak hadir mesyuarat parti. – MalaysiaGazette


