KUALA LUMPUR – UMNO mengakui berdepan cabaran getir apabila menyedari peruntukan untuk kegunaan jentera penerangan parti antara isu sering dibangkitkan akar umbi ketika ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO itu berkata, situasi berbeza pada seperti zaman presiden sebelum ini iaitu Datuk Seri Najib Razak ketika memimpin parti itu apabila ‘mewah’ dengan peruntukan.
“Ya benar, kalau kerana tak ada peruntukan. Apa peruntukan kalau pakai WhatsApp. Selalu kita fikir pasal peruntukan.
“Zaman bossku (Najib) sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, siapa dalam kalangan kita tak dapat bantuan daripada bossku? Jentera mana peringkat pusat (tak dapat peruntukan)?
“Ada dapat puluhan juta bahagian. Semua dapat. Jentera mewah tapi kita kalah, biar segala-galanya perlukan duit, tapi duit bukan segala-galanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Simposium Politik Era Digital 2026 di Dewan Tun Hussien Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menambah, beliau tidak lagi mahu pendekatan defensif diguna pakai lagi sebaliknya menekankan strategi ofensif yang pada pandangannya cara berkesan untuk mempertahankan parti.
“Masalah kita sudah lama tak serang. Bila serang kita pun tak pertahankan. Itu sebab kita ‘ke laut’.
“Biarpun saya tidak melakukan semua perkara dalam media sosial, tapi ada team yang membantu saya.” katanya. – MalaysiaGazette


