Zambry mahu Akta 605 dikaji semula, pastikan universiti awam tidak terkongkong

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengkaji semula Akta Badan-Badan Berkanun Tatatertib dan Surcaj 2000 (Akta 605) khusus bagi memberikan pengecualian kepada universiti awam dalam arahan tertentu termasuk mengeluarkan kenyataan.

Jelas Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, ia bagi membolehkan universiti awam khususnya tidak terkongkong dalam menyampaikan pandangan masing-masing.

“Maka dalam konteks universiti awam kita perlu melihat universiti itu tidak terlibat pekeliling secara awam yang diberikan yang dikategori sebagai badan berkanun. Ini antara langkah yang sedang dilakukan dan dianggap langkah ke hadapan dan radikal.

“Saya sedang mencuba perkara ini bagi membolehkan supaya iklim dalam universiti tidak terkongkong dengan ketakutan untuk menyampaikan pandangan mereka. Tapi dengan syarat dalam tradisi keintelektualan, seorang yang bercakap tidak merapu tanpa fakta dengan teori yang bukan-bukan. Jadi kita akan lihat semula dalam konteks akta ini,” katanya Ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Perikatan Nasional) minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan langkah yang diambil bagi memastikan insiden seperti larangan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang melarang kakitangannya membuat kenyataan awam, tidak berulang semula.

Ia susulan surat pekeliling yang tular baru-baru ini dikeluarkan UKM kepada seluruh warga akademik dan petugas berhubung arahan supaya pegawai awam tidak boleh mengeluarkan kenyataan awam termasuk di media sosial yang mencetuskan pertikaian banyak pihak.

Menyedari wujud keresahan daripada surat pekeliling itu, Zambry berkata, universiti yang keliru terhadap arahan tertentu berkaitan badan berkanun khususnya untuk merujuk kepada KPT.

“Saya juga memahami dalam konteks sebuah Institut Pengajian Tinggi (IPT), ini yang menjadi persoalannya, (iaitu) bagaimana pengurusan universiti mengambil perhatian terhadap setiap arahan atau peringatan yang diberikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana ia terkait dengan badan berkanun.

“Lantaran itu antara langkah yang telah saya ambil untuk pastikan supaya sebarang arahan itu tidak hanya ditafsirkan sehala, lagi dalam konteks universitu iaitu setiap arahan tidak boleh dianggap hanya semata-mata boleh dilaksanakan di semua peringkat,” katanya.

Semalam, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Teresa Kok berkata, semua institusi pengajian tinggi di negara ini diseru berhenti mengeluarkan apa-apa arahan untuk mengekang kebebasan bersuara dalam kalangan ahli akademik dan penuntutnya.

Menurutnya, kebebasan akademik memainkan peranan penting untuk mendorong inovasi, membentuk pemikiran kritikal dan mempromosikan kemajuan sosial, justeru tidak patut ditekan atau dibungkam. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI