Zhemin perlu bawa isu rakyat, bukan berpolitik di Parlimen – Pemuda PAS

KAMPAR – Pemuda PAS Kampar mempersoalkan tindakan seorang Ahli Parlimen DAP yang mencadangkan agar Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, menyertai parti itu dalam persidangan Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Naib Ketua Pemuda PAS Kampar, Abdul Hadi Azman, berkata tindakan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, itu dilihat lebih cenderung berpolitik di Parlimen berbanding memberi perhatian kepada isu-isu mendesak yang membabitkan penduduk di kawasan parlimennya.

Menurutnya, kenyataan tersebut juga mencerminkan sikap tidak sensitif seorang wakil rakyat terhadap masalah yang sedang dihadapi masyarakat setempat.

“Kepada Zhemin, gunakanlah kedudukan di Parlimen untuk menyuarakan isu-isu setempat bukannya untuk beraksi semberono demi kepentingan politik yang tidak untungkan rakyat Kampar.

“Parlimen bukan gelanggang hiburan tetapi tempat untuk membawa suara rakyat, jangan jadikan Parlimen sebagai medan sarkas politik yang mempermainkan mandat rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Abdul Hadi yang juga Penyelaras Parlimen Kampar berkata, antara isu utama yang perlu diberi perhatian di kawasan berkenaan ialah status pembinaan hospital baharu.

Selain itu, katanya, keadaan infrastruktur yang usang dan ketiadaan akses jalan raya yang baik di kebanyakan kampung tradisional Melayu dan kampung baru, serta pelan jangka panjang bagi menangani masalah bencana seperti banjir kilat, juga wajar diberi keutamaan.

“Agihan peruntukan hampir RM1.42 juta kepada sebuah sekolah Cina tetapi tiada peruntukan sewajarnya disalurkan kepada sekolah-sekolah kebangsaan, sekolah-sekolah Tamil dan sekolah-sekolah menengah di Parlimen Kampar,” dakwanya.

Justeru, Abdul Hadi mendakwa, tiada usaha konkrit daripada Zhemin untuk menyelesaikan pelbagai isu membabitkan kebajikan dan kepentingan rakyat di kawasan tersebut.

Terdahulu, media melaporkan seorang Ahli Parlimen DAP mencadangkan agar Presiden MCA, Ka Siong menyertai PAS susulan dakwaan bahawa beliau mendapat sokongan daripada blok pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Chong (PH–Kampar) membangkitkan perkara itu sejurus selepas Ka Siong (BN–Ayer Hitam) selesai membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Bagi DAPSY cermin, kad OKU sekali – Dr Akmal

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI