IPOH – Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) dijangka mengadakan lawatan ke Tennoji Zoo di Osaka, Jepun bagi memantau perkembangan tiga ekor gajah dari Malaysia pada April ini.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, tiga ekor gajah berkenaan iaitu Dara, Amoi dan Kelat telah selamat dihantar ke Osaka pada 11 Mac lalu.
“Setakat ini, selepas penghantaran itu, saya belum dapat laporan yang khusus (mengenai gajah tersebut).
“Cuma memang sebelum ini sebagai persediaan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan zoo dari dua pihak memang dah banyak kali mengadakan perbincangan termasuk lawatan untuk pastikan kawasan persekitaran yang akan menempatkan gajah ni sesuai dan memenuhi piawaian dan apa yang diperlukan.
“Saya difahamkan semua (gajah) dalam keadaan yang baik dan dalam masa terdekat ini juga pihak ZNTS akan mengadakan lawatan ke zoo di Osaka untuk melawat dan melihat keadaan gajah yang dihantar supaya berada dalam keadaan yang digariskan dan dalam keadaan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Kempen Kesedaran Keselamatan Awam sempena Program Satelit Program MADANI Rakyat (PMR) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di Aeon Mall Kinta City, di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon.
Katanya, sebelum ini haiwan berkenaan tinggal di santuari dan kawasan itu memang berbeza dengan zoo.
“Mungkin kalau hendak banding dua itu (santuari dan zoo) memang keadaan lain sikit,” ujarnya.
Sebelum ini, Kerajaan Perak akan memberi jaminan dan memantau secara rapi keadaan tiga ekor gajah di ZTNS yang dihantar ke Jepun bagi memastikan kebajikan haiwan berkenaan terus terpelihara. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak beri jaminan keadaan tiga gajah dihantar ke Jepun dipantau – Exco


