TANJUNG MALIM – Empat kanak-kanak antara sebelas yang terkandas ketika melakukan aktiviti mendaki dan mandi manda di Lata Perangin, di sini petang tadi berjaya diselamatkan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada salah seorang mangsa sekitar jam 6.15 petang.
Menurutnya, mangsa terdiri daripada tiga individu dewasa, empat remaja berusia 14 hingga 16 tahun serta empat kanak-kanak berumur 10 tahun melibatkan keluarga dan rakan-rakan mereka.
“Maklumat awal dari mangsa memaklumkan ketika mereka hendak balik dari lokasi, mereka tidak dapat menyeberangi sungai tersebut disebabkan terlalu deras.
“Ketika anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim tiba di lokasi, mereka melihat mangsa cuba untuk menyeberangi sungai dan berjaya menyeberangi dengan selamat.
“Anggota kemudiannya mengiringi mangsa turun ke bawah dan keadaan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Beliau berkata, operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.37 malam. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Wanita ditemukan maut terkunci dalam tandas