110 termasuk pelajar sekolah, IPT diperiksa pada Ops Bersepadu Samseng Jalanan

IPOH – Sebanyak 112 buah motosikal dan 110 orang berusia di antara 14 hingga 36 tahun termasuk pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) telah diperiksa dalam Ops Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Pasir Puteh di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, operasi yang dijalankan bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu membabitkan 53 orang pegawai dan anggota polis, 16 orang sukarelawan polis serta enam pegawai AADK Perak.

Menurutnya, menerusi pemeriksaan yang dijalankan pihak polis telah mengesan beberapa kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Sebanyak 26 buah motosikal disita atas kesalahan pengubahsuaian pelbagai aksesori atau struktur kenderaan di bawah Seksyen 64(1) APJ 1987.

“Selain itu, sebanyak 257 saman trafik pelbagai kesalahan turut dikeluarkan dalam operasi itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai empat individu ditahan atas kesalahan menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987.

“Bagaimanapun pemeriksaan air kencing ke atas beberapa individu yang ditahan menunjukkan kesemua mereka negatif daripada sebarang pengunaan dadah.

“Sehubungan itu, kita akan terus menjalankan operasi seumpamanya dari semasa ke semasa bagi memperkasakan lagi tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap samseng jalanan di daerah ini,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Ops Khas HRA 2024: JPJ Perak keluar lebih 10,000 notis

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI