IPOH – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 54 wanita warga asing kerana disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral dengan berselindung di sebalik perkhidmatan rumah urut di 13 premis sekitar bandar raya ini malam tadi.
Serbuan yang dijalankan serentak pada jam 9 malam menerusi Ops Gegar telah menahan 48 wanita warga Thailand, dua warga Indonesia dan empat warga Vietnam berusia antara 20 hingga 35 tahun.
Pengarah JIM Perak, Datuk James Lee berkata, serbuan yang melibatkan 91 pegawai JIM Perak, Selangor dan Kuala Lumpur itu dilaksanakan selepas risikan dijalankan selama 14 hari di premis-premis terlibat.
Menurutnya, selain menawarkan perkhidmatan urut, pelanggan turut ditawarkan perkhidmatan seks oleh pekerja wanita warga asing terbabit.
Foto ABDULLAH YUSOF, 11 OGOS 2025
Tambahnya, harga yang ditawarkan untuk perkhidmatan tersebut adalah antara RM50 hingga RM100 serta menggunakan aplikasi TikTok dan WhatsApp untuk mempromosikan aktiviti tidak bermoral itu bagi menarik perhatian pelanggan.
“Mereka menggunakan rumah urut itu untuk menjalankan kegiatan yang tidak bermoral. Ada yang buat servis (perkhidmatan seks) di tempat itu (premis) dan ada juga yang bawa pulang (pelanggan) ke rumah,“ katanya pada sidang media di lokasi serbuan malam tadi.
Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan ke atas warga asing terbabit mendapati kebanyakan mereka telah menyalahguna pas lawatan sosial untuk bekerja di premis berkenaan.
“Justeru, mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial,“ ujarnya.
Foto ABDULLAH YUSOF, 11 OGOS 2025
Katanya, pihaknya turut mengeluarkan Borang 29 (saman saksi) kepada 54 pelanggan serta pekerja premis bagi membantu siasatan.
“Kesemua wanita warga asing yang ditahan itu dibawa ke Pejabat JIM Perak untuk dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Wanita ‘lesap’ ketika serbuan imigresen tinggalkan suami, anak