TANJUNG MALIM – Sebanyak 1,306 aduan direkodkan menerusi Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Kerajaan Negeri Perak sehingga siri keenam tahun ini, dengan 1,064 aduan atau 81 peratus daripadanya berjaya diselesaikan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, baki 242 aduan lagi masih dalam tindakan lanjut, manakala sebanyak 120 aduan diterima bagi siri ketujuh yang berlangsung di Dewan Seri Tanjong, Majlis Daerah Tanjung Malim, hari ini.
“Program kali ini menyediakan 80 kaunter khidmat pelanggan, lima perkhidmatan kaunter bergerak dan enam reruai pameran, termasuk Jualan Murah dan Jualan Rahmah.
“Selain menyediakan kemudahan perkhidmatan kepada orang ramai, program ini turut mengetengahkan produk usahawan tempatan menerusi pelancaran produk keluaran ahli Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (USAHANITA) Daerah Muallim,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Mesra HBP Kerajaan Negeri Perak Siri Ketujuh Tahun 2026 di Dewan Seri Tanjong, Majlis Daerah Tanjung Malim, di sini, hari ini.
Saarani berkata, aspek kebajikan masyarakat turut diberi perhatian menerusi penyerahan, sumbangan Wakalah Zakat Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) yang disampaikan kepada 24 penerima.
“Daripada jumlah itu, bantuan komputer riba diberikan kepada 20 pelajar Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), manakala empat penerima lain menerima bantuan perubatan dan modal perniagaan,” ujarnya.
Program Mesra HBP Kerajaan Negeri Perak diperkenalkan sejak 2022 dan dianjurkan secara berkala oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak.
Inisiatif itu menjadi platform bagi membolehkan rakyat berinteraksi secara langsung dengan barisan kepimpinan negeri, mengemukakan aduan serta mendapatkan pelbagai perkhidmatan daripada jabatan dan agensi kerajaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
HBP Perak Siri Keenam catat rekod tertinggi, 290 aduan diterima


