IPOH – Sebanyak 1,328 tanglung digantung di Jalan Bijih Timah dan Bandar Timah di sini bagi menyambut kedatangan Tahun Baharu Cina pada tahun ini
Setiausaha Politik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang, Wong Kar Keat berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kepayang bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Dewan Perhimpunan Cina Perak memperuntukkan RM100,000 untuk memasang tanglung tersebut.
Menurutnya, tanglung itu adalah yang terpanjang dalam sejarah di bandar raya ini Ipoh.
“Hiasan seperti ini dapat memeriahkan suasana Tahun Baharu Cina dan pada masa sama peniaga di sekitanya digalakkan untuk menghiaskan premis perniagaan mereka dengan hiasan bersesuaian.
“Melalui pemasangan hiasan itu, suasana akan jadi lebih meriah sempena perayaan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mewakili ADUN Kepayang, Nga Kor Ming menyampaikan bantuan pek makanan kepada penduduk di rumah pangsa Jalan Silang sempena Tahun Baharu Cina pada Sabtu.
Sebanyak 30 pek makanan bernilai RM100 setiap satu disumbangkan kepada penduduk yang kurang berkemampuan di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Kar Keat berkata, rumah pangsa Jalan Silang turut dinaik taraf dengan menjalankan kerja mengecat seluruh bangunan tersebut menggunakan peruntukan kawasan DUN Kepayang sebanyak RM120,000.
“Kerja ini bermula sejak November tahun lalu dan siap sepenuhnya dalam tempoh kurang dua bulan dan kami akan memohon kepada MBI untuk menambah lampu di sekeliling bangunan ini supaya kelihatan lebih ceria,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: