PUTRAJAYA – Seramai 1,476 warga Myanmar akan dihantar pulang secara sukarela pada 29 Sept ini menerusi fasa pertama program penghantaran pulang 5,000 pelarian Myanmar yang telah dimuktamadkan oleh kerajaan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan proses penghantaran pulang kumpulan pertama itu akan menggunakan dua kapal perang dan sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar.
“Tarikh tersebut dipersetujui dalam mesyuarat penyelarasan yang melibatkan KDN, Kementerian Luar Negeri, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pertahanan selepas mengambil kira keperluan logistik serta penyelarasan,” menurut kenyataan itu.
KDN memaklumkan kerajaan MADANI sedang dan akan terus menggiatkan rundingan diplomatik secara langsung dengan kerajaan Myanmar bagi memastikan proses penghantaran pulang dilaksanakan secara teratur dan bermaruah serta dipersetujui oleh kedua-dua negara.
Menurut KDN, lebih 95 peratus pelarian di negara ini berasal dari Myanmar, termasuk etnik Rohingya, Chin, Karen dan Mon.
Sementara itu, KDN memaklumkan bahawa setakat ini, seramai 4,008 warga Myanmar terutamanya daripada etnik Rohingya akan didaftarkan di bawah Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), manakala pihak berkuasa sedang melaksanakan proses pengesahan terhadap 10,388 warga Myanmar yang berada di Depot Tahanan Imigresen.
Menurut kementerian itu, pihak berkuasa sedang mengesahkan identiti, kewarganegaraan, status imigresen, tuntutan pelarian serta latar belakang keselamatan setiap individu, memandangkan tidak semua warga Myanmar yang ditahan boleh dianggap sebagai pelarian.
“Proses pendaftaran DPP bagi golongan berkenaan dijangka dapat diselesaikan pada suku keempat tahun ini,” menurut kenyataan itu.
Menurut KDN, pelaksanaan pendaftaran melalui DPP perlu disokong oleh hala tuju penyelesaian yang jelas bagi memastikan mekanisme itu tidak sekadar menjadi suatu bentuk pendaftaran, sebaliknya merupakan sebahagian daripada pendekatan yang lebih menyeluruh terhadap pengurusan pelarian dan pemohon suaka.
Seterusnya, program DPP akan diperluaskan kepada semua pendatang tanpa izin yang berada di luar Depot Tahanan Imigresen, termasuk pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan individu yang mendakwa diri sebagai pelarian.
KDN memaklumkan pendaftaran itu akan diwajibkan bagi membolehkan kerajaan memperoleh data biometrik dan maklumat peribadi yang lengkap serta tepat sebagai asas pelaksanaan pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan demi kepentingan keselamatan negara.
— BERNAMA


