IPOH – Lebih 1,500 jemaah menyertai program ‘Geng Subuh Macam Jumaat’ sempena Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah Madani yang dianjurkan di Masjid Jamek Al-Amin, Kampung Lata di sini, pada Ahad.
Solat Subuh itu turut disertai Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim; pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid; serta selebriti seperti, Nabil Ahmad, Angah Raja Lawak dan pempengaruh, Abdul Qawiy Abd Rashit atau dikenali sebagai Qawiyaro
Pejabat Parlimen Tambun menerusi satu kenyataan memaklumkan, solat yang diimamkan Qawiyaro itu mendapat sambutan dalam kalangan orang ramai apabila mereka hadir seawal jam 5 pagi.
Katanya, kempen ‘Solat Subuh Macam Jumaat’ itu akan diteruskan selepas ini yang mana pelbagai aktiviti menarik bakal diadakan bagi menarik kehadiran penduduk setempat.
“Pada program hari ini, kita turut mengadakan larian ‘Tambun Fun Run’ sejauh lima kilometer di mana ia turut disertai Muhammad Kamil.
“Selain itu, antara aktiviti lain yang diadakan ialah kenduri rakyat, penyerahan sumbangan peruntukan khas kepada sekolah, demonstrasi khat, penyalinan dan percetakan al-Quran serta persembahan nasyid daripada UNIC, Raihan dan Mirwana,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Katanya lagi, aktiviti lain yang turut diadakan sepanjang Ahad termasuk konvoi motosikal belia, Jualan Rahmah, perkhidmatan bergerak dan pameran agensi kerajaan, pemeriksaan kesihatan, gunting rambut dan servis penukaran minyak hitam percuma serta cabutan bertuah
Juga akan diadakan Malam Mahabbah Madani di mana membabitkan pertandingan nasyid antara sekolah serta Forum Hijrah bersama pasangan selebriti PU Riz dan Neelofa yang dikendalikan oleh moderator, Ustaz Hariri Daud.
Karnival bertemakan Hijrah Membina Ummah Madani itu merupakan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Tambun dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC).
Penganjuran program itu mengangkat aspirasi Malaysia Madani dengan semangat keterangkuman dan keharmonian yang memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang untuk bersama-sama membina sebuah komuniti yang sejahtera dan bersatu. – MG Perak
Artikel Berkaitan: