IPOH – Seramai 250 peserta bermotosikal kira-kira 130 kilometer (km) ke beberapa masjid sekitar Ipoh dan Kuala Kangsar sempena program Mosque Trail Ukhuwah Ride pada Ahad.
Program berkenaan adalah hasil kerjasama Tourism Perak bersama Islamic Tourism Centre, Persatuan Jom Cuci Masjid serta Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Keledang Jaya, Ipoh.
Tourism Perak melalui kenyataan berkata, program itu adalah salah satu pengisian Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 dan Bulan Pelancongan Islamik di samping mempromosikan penerbitan risalah pelancongan.
Menurutnya, program seawal jam 6 pagi itu dimulakan dengan sesi ‘Solat Subuh seperti Solat Jumaat di Masjid Jamek Keledang Jaya, di sini, sebelum sesi kuliah yang akan disampaikan Ustaz Hanafiah Malek.
“Program diteruskan dengan taklimat tunggangan selamat oleh Wazi Abdul Hamid sebelum sesi ‘flag off’ rombongan pelbagai termasuk 10 camper van dari dalam dan luar Perak disempurnakan Ketua Pegawai Operasi Tourism Perak, Zuraida Md Taib.
“Rombongan bergerak ke Masjid Sultan Idris Shah II, kemudian ke Masjid India Muslim, seterusnya ke Masjid Muhammadiah dekat Tasek, di mana program Jom Cuci Masjid oleh Persatuan Jom Cuci Masjid.
“Selepas itu, rombongan bergerak ke Jambatan Keretapi Victoria, Karai yang juga destinasi pelancongan Perak,” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, rombongan bermotosikal itu kemudiannya bergerak ke Pusat Penerangan Pelancongan Kuala Kangsar bagi majlis perasmian yang disempurnakan Pengerusi Tourism Perak, Datuk Mohd Kamil Shafie.
“Rombongan diteruskan ke Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar untuk lawatan dan solat berjemaah dan seterusnya bergerak ke destinasi terakhir iaitu Restoran Sajian Panorama, Kuala Kangsar.
“Restoran ini adalah sebuah kafe baharu di pesisir Sungai Perak yang menyajikan pelbagai makanan kampung tradisi setempat,” katanya.
Katanya, Mosque Trail Ukhuwah Ride bertujuan mempromosikan keindahan pelbagai masjid di negeri ini serta produk pelancongan, makanan dan kemudahan baharu di Perak.
“Program ini turut memberikan limpahan ekonomi kepada pengusaha makanan, pengusaha hotel, pengusaha pengangkutan, dan lain-lain, seterusnya meningkatkan capaian kempen Tahun Melawat Perak 2024 ke pasaran domestik.
“Justeru, program seumpama ini diharap dapat mencapai hasrat dan objektif seiring sasaran kerajaan negeri untuk menarik 8 juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong antarabangsa ke Perak sempena TMP 2024,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Ibarat permata, Perak berpotensi besar dalam pelancongan Muslim