IPOH – Seramai 19,012 Ketua Isi Rumah (KIR) telah menerima manfaat Kad Perak Sejahtera bernilai RM100 sebulan setakat Februari 2025, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menurut beliau, inisiatif Kerajaan Negeri Perak membantu golongan B40, miskin dan miskin tegar dalam pembelian keperluan asas harian itu boleh digunakan penerima di 291 kedai dan pasaraya panel berdaftar dengan nilai keseluruhan RM1,200 setahun.
“Sebanyak 1,002 permohonan baharu telah diterima dan 915 permohonan telah diluluskan, dengan jumlah tertinggi diterima dari Daerah Kinta membabitkan sebanyak 430 permohonan.
“Kerajaan Negeri Perak komited untuk memastikan program ini terus memberi manfaat kepada rakyat yang benar-benar memerlukan dan akan diteruskan sebagai sebahagian daripada agenda kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Penyerahan Kad Perak Sejahtera di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Sabtu.
Terdahulu Saarani turut hadir merasmikan Persidangan Perundingan Wanita Perak 2025, yang menghimpunkan 63 perwakilan wanita dari pelbagai latar belakang bagi memperkukuh peranan wanita dalam kepimpinan dan pembangunan di Perak.
Mengulas mengenai persidangan berkenaan Saarani berkata, kerajaan negeri berharap agar persidangan ini dapat merumuskan resolusi berimpak tinggi.
Saarani berkata ia juga turut menjadi asas kepada dasar-dasar baharu dalam memperkukuh peranan wanita dalam kepimpinan dan pembangunan negeri.
“Dengan dua inisiatif ini Kad Perak Sejahtera dan Persidangan Perundingan Wanita Perak 2025 membuktikan keprihatinan serta komitmen Kerajaan Negeri terhadap kesejahteraan rakyat,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Belanjawan Perak 2024: Kadar Kad Perak Sejahtera naik kepada RM100