PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi mendapati, empat surat bagi menyokong derma politik kepada Datuk Seri Najib Razak daripada pemerintah Arab Saudi, adalah palsu kerana surat asal tidak dikemukakan ketika perbicaraan.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, selain itu, tiada pengesahan dilakukan oleh bekas Perdana Menteri bagi memastikan dana itu berasal daripada keluarga Raja Abdullah.
Beliau menyatakan demikian ketika mencapai dapatan kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Hakim Collin selanjutnya menyatakan, mahkamah tidak dapat menerima hujahan pembelaan bahawa tiada pengakuan bertulis dihantar kepada keluarga Raja Arab Saudi bagi menzahirkan ucapan terima kasih atas sumbangan yang didakwa berlaku.
Mahkamah turut mencapai dapatan bahawa derma politik yang disandarkan oleh pihak pembelaan adalah meragukan kerana naratif sumbangan tersebut juga tidak diisytiharkan dalam minit Kabinet.
Selain itu, Hakim Collin juga memberitahu, bukti transaksi menunjukkan wang tersebut sebenarnya berpunca dari dana 1MDB.
Katanya, ini kerana jejak kewangan menunjukkan wang itu disalurkan melalui syarikat pihak ketiga iaitu Vista Equity, Blackstone dan Tanore, entiti yang dimiliki oleh ahli perniagaan dalam buruan, Eric Tan.
Hakim Collin selanjutnya mendapati, kredibiliti saksi pendakwaan kekal utuh walaupun disoal balas oleh pihak pembelaan yang mencabar penglibatan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho Low atau Jho Low.
Menurut Sequerah, saksi pendakwaan termasuk bekas Peguam Kanan 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan, menunjukkan Jho Low bertindak sebagai orang tengah antara Najib dan 1MDB.
“Jho Low mengekalkan komunikasi dengan pegawai 1MDB dan menyampaikan arahan daripada Najib. Arahan daripada Jho Low berpunca daripada beliau menjadikan Jho Low adalah ejen kepada tertuduh,” katanya.
Hakim Collin menangguhkan prosiding pukul 12.15 tengah hari yang berlangsung selama tiga jam dan menetapkan penyampaian keputusan disambung pukul 3 petang.
Bagi pertuduhan salah guna kedudukan, beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di ibu negara antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula didakwa dilakukan di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.
Bagi pertuduhan salah guna kuasa, Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram pula, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette


