2,027 calon tidak hadir peperiksaan SPM 2024 di Perak

IPOH  – Seramai 2,027 calon daripada keseluruhan 27,943 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Perak didapati tidak hadir menduduki peperiksaan bagi pelbagai mata pelajaran.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, daripada jumlah itu, Kinta Utara mencatatkan bilangan calon tidak hadir tertinggi dengan 587 orang calon.

Katanya, ia diikuti oleh Daerah Larut Matang Selama (309 calon), Manjung (250 calon), Batang Padang (141 calon), Hilir Perak (135 calon), Kuala Kangsar (118 calon), dan Hulu Perak (117).

Ujar beliau lagi, bagi Kinta Selatan direkodkan 107 calon tidak menduduki peperiksaan berkenaan, Kerian (102 calon), Bagan Datuk dan Perak Tengah (masing-masing 55 calon), serta Muallim (51 calon).

“Hasil maklumat yang diperoleh daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mendapati antara faktor kepada ketidakhadiran calon ialah masalah keluarga dan sudah bekerja.

“Selain itu, terdapat calon yang tidak hadir menduduki SPM 2024 kerana atas faktor kesihatan, masalah pengangkutan, meninggal dunia, terlibat dalam kemalangan, berpindah ke luar negara serta dalam tahanan pihak berkuasa,” katanya.

Ketidakhadiran calon SPM Perak Keciciran murid sekolah Perak Calon SPM tidak hadir 2024 Masalah kehadiran pelajar di Perak SPM 2024 Perak Inisiatif JPN Perak Program Ziarah Cakna Program RFRC Keciciran sekolah menengah Jaulah ABC Perak
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah pada Mesyuarat Pertama, Tahun Ketiga Dewan Negeri Ke-15 Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada Khamis. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 17 APRIL 2025.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohamad Amin Roslan (PN–Pengkalan Hulu) pada Mesyuarat Pertama, Tahun Ketiga Dewan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.

Terdahulu, Angeline Koo Haai Yen (PH–Keranji) menerusi soalan lisan meminta penjelasan mengenai situasi keciciran murid di sekolah rendah dan menengah serta langkah yang diambil kerajaan negeri untuk menanganinya.

Menjawab soalan itu, Khairudin memaklumkan, JPN telah mengenal pasti seramai 135 murid sekolah rendah dan 1,912 murid sekolah menengah di Perak mengalami keciciran.

“Antara punca keciciran ialah dibuang sekolah, tidak berminat, sudah bekerja, masalah keluarga, penyakit kronik, digantung persekolahan, sukar hadir ke sekolah, perkahwinan, tiada kemudahan, takut ke sekolah serta kemiskinan,” ujarnya.

Justeru kata beliau, JPN Perak mengambil serius terhadap isu ini dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan kadar keciciran serta ketidakhadiran ke sekolah.

Khairudin berkata, antara usaha yang digiatkan ialah melalui empat program utama, iaitu Program Jaulah ABC (Anak yang Baik lagi Cerdik), Program Outreach Murid Cicir, Program Ziarah Cakna dan Platform Kehadiran Murid – Red Flag Risiko Cicir (RFRC).

“Program Ziarah Cakna merupakan program menziarahi keluarga murid yang sering tidak hadir ke sekolah serta memberi bantuan agar murid dapat bersekolah dengan selesa dan aman.

“Sebagai contoh di Sekolah Kebangsaan Jernang di daerah Batang Padang, analisa program RFRC menunjukkan peningkatan kehadiran dari 79.27 peratus kepada 83.60 peratus,”kata beliau lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Lepasan SPM boleh mula mohon UPU mulai 10 Februari ini

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI