GERIK – Projek Hydro Life Extension Programme atau Pelanjutan Hayat Hidro (HLEP) yang dilaksanakan di Stesen Janakuasa di Temengor, Bersia dan Kenering di sini meletakkan Perak di barisan hadapan dalam agenda peralihan Tenaga Boleh Baharu negara.
Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, pelaksanaan projek berkenaan menyediakan kemudahan sokongan kritikal yang mana ia memainkan peranan penting dalam menjamin keperluan tenaga serta kestabilan grid nasional.
Katanya, ia memperkukuhkan lagi kedudukan negeri Perak sebagai pusat tenaga boleh baharu yang menjadi teras kepada pembangunan berasaskan tenaga hijau.

“Ini merupakan satu langkah strategik yang meletakkan Perak di barisan hadapan dalam agenda peralihan tenaga boleh baharu negara.
“Koridor hidroelektrik sedia ada (di negeri ini) kini berperanan sebagai tulang belakang kepada penjanaan tenaga negeri di samping membuka peluang-peluang pertumbuhan industri dan ekonomi baru yang lebih dinamik serta berdaya tahan selaras dengan pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Fasiliti Penempatan Berpusat Bagi Projek HLEP di Bandariang, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim; Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Datuk Salbiah Mohamed serta Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd, Datuk Shahrir Abdul Latiff.
Di bawah HLEP, antara skop kerja yang terlibat adalah baik pulih peralatan di stesen janakuasa, penggantian turbin, penggantian atau penggulungan semula generator, naik taraf sistem kawasalan dan instrumentasi serta, penambahbaikkan kepada sistem keselamatan di empangan.

Menurut Redza Rafiq, HLEP dilaksanakan secara berfasa sejak tahun 2024 oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Konsortium Voith–HeiTech serta sokongan anak syarikat PKNPk, Hidro 2 Perak Sdn Bhd (H2P).
Beliau berkata, dengan kapasiti penjanaan mencecah 650.75 megawatt, projek itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi stesen janakuasa hidroelektrik malah memperkukuh peranan Perak sebagai pusat strategik tenaga bersih.
Dalam pada itu Redza Rafiq berkata, pembinaan Fasiliti Penempatan Berpusat pendekatan strategik PKNPk melalui H2P dalam mengoptimumkan kecekapan operasi di samping meningkatkan kehadiran pekerja.

Kata beliau, kemudahan penginapan sebanyak 24 unit di kawasan seluas 1.86 hektar itu direka dengan reka bentuk bangunan modular yang mampu menampung kira-kira 200 pekerja.
“Pihak H2P juga turut dilantik sebagai penyedia perkhidmatan sokongan seperti katering, pengangkutan, pengurusan fasiliti dan pengurusan keselamatan.
“Fasiliti Penempatan Berpusat direka bentuk lengkap dengan penginapan yang selesa, kondusif, selamat dan terancang. Ini selaras dengan amalan terbaik dalam pengurusan tenaga kerja moden,” katanya lagi.
Tambah Redza Rafiq, pembinaan fasiliti berkenaan juga mematuhi kesemua piawaian keselamatan, kesihatan dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa atas khidmat nasihat serta kepakaran daripada konsultan yang bertauliah.
Selain unit penempatan, kawasan tersebut turut dilengkapi dengan kafeteria, surau, bilik pelbagai guna, ruang dobi serta ruang rekreasi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pelaburan RM5.8 bilion HLEP pacu pertumbuhan ekonomi Hulu Perak


