Perak sambut baik cadangan KPT tubuh universiti sains sukan

IPOH – Kerajaan Negeri Perak menyambut baik dan menyokong penuh cadangan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menubuhkan sebuah universiti sains sukan di Malaysia bagi memperkukuh pembangunan akademik serta melahirkan atlet berprestasi tinggi.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, penubuhan universiti khusus itu turut memberi peluang kepada atlet untuk melanjutkan pendidikan bersesuaian dengan minat dan ilmu yang dimiliki, selain mengembangkan potensi mereka dalam bidang sukan.

“Ini merupakan salah satu manifestasi untuk kita memberi ruang dan peluang kepada anak-anak kita yang mungkin mempunyai minat yang cukup tinggi dalam bidang sukan khususnya dalam kalangan atlet yang mewakili negeri ataupun negara.

“Pada masa sama, mereka juga perlu diberi ruang pendidikan yang sewajarnya berdasarkan kepada minat dan juga ilmu yang mereka ada.

“Di pihak kerajaan negeri, kita menyambut baik cadangan daripada KPT untuk mewujudkan universiti tersebut.

“Tambahan pula, kalau kita lihat di negara ASEAN yang lain seperti Thailand, Vietnam, mereka mempunyai banyak universiti sains sukan dan sudah pasti Malaysia tidak mahu ketinggalan serta memastikan penubuhan universiti itu akan menjadi satu alternatif yang cukup baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan penyampaian sumbangan sempena Deepavali kepada murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Glenealy, di sini, hari ini.

Khairudin berkata, penubuhan universiti tersebut mampu membantu meningkatkan prestasi sukan negara menerusi penglibatan pakar dalam dan luar negara yang dapat menyumbang kepakaran serta maklumat berguna dalam bidang pengajian sains sukan.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dilaporkan berkata, KPT sedang melihat keperluan meneroka penubuhan sebuah universiti khusus dalam bidang sains sukan bagi menggabungkan kecemerlangan akademik dengan pembangunan atlet berprestasi tinggi.

Katanya, gagasan berkenaan merupakan aspirasi jangka panjang yang boleh direalisasikan dengan memanfaatkan kepakaran serta kemudahan sedia ada di institusi pengajian tinggi (IPT).

Beliau turut melihat bidang sains sukan, penyelidikan, pemakanan, fisioterapi dan pembangunan prestasi atlet antara aspek yang boleh diperkukuh menerusi pendekatan bersepadu itu. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

50 atlet Perak cemerlang SPM terima insentif RM34,200

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI