Sindiket ‘Call Centre’ sasar mangsa dari Jerman, lima lelaki warga China ditahan

IPOH – Polis menahan lima lelaki warga China yang disyaki terbabit dalam sindiket penipuan pelaburan dalam talian menerusi kegiatan pusat panggilan atau ‘call centre’ dalam satu serbuan di sebuah rumah di Anjung Bercham Utama, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, serbuan sekitar jam 6.30 petang itu dijalankan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai menjalankan kegiatan penipuan pelaburan tidak wujud secara dalam talian dengan menyasarkan mangsa dari Jerman.

“Berdasarkan siasatan awal serta skrip perbualan yang ditemukan dalam komputer yang dirampas, sindiket ini dipercayai mula beroperasi di premis berkenaan sejak September lalu.

“Mereka menggunakan aplikasi WhatsApp dan capaian internet tempatan untuk menghubungi mangsa secara rawak dengan menyamar menggunakan gambar wanita berpenampilan menarik.

“Mangsa kemudian dipujuk untuk menyertai pelaburan dalam syarikat yang kononnya bertapak di Jerman dengan tawaran pulangan keuntungan yang tinggi sebelum diminta membuat pembayaran secara berulang kali bagi tujuan pelaburan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, dalam operasi itu polis turut merampas lima unit komputer, 10 telefon bimbit dan empat unit penghala internet yang dianggarkan bernilai RM25,000.

“Kesemua suspek direman selama empat hari bermula 31 Oktober hingga 3 November ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Tiga lelaki ditahan, sindiket bantu rangkaian komunikasi penipuan dalam talian tumpas

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI