LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak, menahan 22 nelayan warga asing di kedudukan 0.98 batu nautika Tenggara Pulau Jarak, di sini, pada Jumaat.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, kesemua nelayan berkenaan ditahan bersama sebuah bot nelayan Kelas C kira-kira jam 10.40 pagi.
Menurut beliau, bot terbabit dikesan sedang leka melakukan aktiviti perikanan oleh KMTUGAU ketika melakukan rondaan rutin menerusi OP SAYONG, OP TANJUNG dan OPTIRIS di perairan Perak.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot tersebut dikendalikan oleh seorang tekong warga Thailand bersama empat kru yang merupakan rakan senegaranya dan 17 lagi kru warga Kemboja.
“Kesemua mereka berumur dalam lingkungan 24 hingga 57 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mengulas lanjut Mohd Hambali berkata, pihaknya juga mendapati tekong berkenaan gagal mengemukakan dokumen kelulusan penggunaan peralatan komunikasi serta beroperasi kurang dari 15 batu nautika dari daratan.
Ujar beliau, pemeriksaan lanjut turut menemukan anggaran lebih kurang 60 liter cecair disyaki air ketum serta kira-kira 200 kilogram ikan campur di atas bot berkenaan.
“Kes disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana tidak mempunyai kelulusan penggunaaan radar dan peranti, Akta Perikanan 1985 kerana beroperasi kurang daripada 15 batu nautika.
“Mereka juga disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut,” katanya.
Tambah beliau, kesemua nelayan ditahan, manakala bot, hasil tangkapan dan peralatan menangkapikan berserta cecair disyaki air ketum dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut. -MG Perak
Artikel Berkaitan: