23 tahun tiada lesen, mekanik ditahan JPJ

IPOH – Seorang mekanik ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pada operasi khas motosikal sempena Tahun Baharu Cina  selepas didapati tidak memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) motosikalnya selama 23 tahun sejak 2003.

Lelaki berusia 61 tahun itu ditahan ketika JPJ menjalankan operasi tersebut di Jalan Silibin-Ipoh, hari ini.

Difahamkan, lelaki terbabit memberikan alasan bahawa motosikalnnya jarang melalui jalan utama dan hanya menggunakan kenderaan itu di sekitar taman perumahan sahaja.

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik motosikal kerana telah melanggar Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, yang mewajibkan semua kenderaan bermotor di jalan raya memiliki lesen kenderaan yang sah.

Menurutnya, pemilik motosikal terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

“Motosikal jenis Honda EX5 itu disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987 dan notis saman P22 telah dikeluarkan atas kesalahan tiada perlindungan insurans dan LKM.

“Kesalahan ini adalah serius kerana LKM bukan sahaja bukti kenderaan telah didaftarkan, tetapi juga memastikan pemilik membayar cukai jalan yang diperlukan serta memenuhi syarat keselamatan kenderaan.

“Justeru, kenderaan yang tidak mempunyai LKM yang sah berisiko untuk tidak dilindungi insurans sekiranya berlaku kemalangan, sekaligus menyebabkan komplikasi kepada mangsa dan pemilik kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru supaya semua pemilik kenderaan mengikut peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang serta memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya di patuhi.

“Operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang,” jelasnya.

Sementara itu, Mohammad Yusoff memaklumkan sebanyak 1,450 kenderaan melibatkan motosikal, kereta dan bas diperiksa sepanjang operasi itu dilaksanakan sejak 7 pagi tadi.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 605 notis saman dikeluarkan dan 17 kenderaan disita membabitkan dua buah kereta dan 15 motosikal,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Ops Khas Lori: JPJ keluar 26 notis

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI