PERIBAHASA mengatakan ‘ke mana tumpah kuah, kalau tidak ke nasi’ dan itu dibuktikan oleh seorang pembuat kavadi apabila mewarisi bakat dan kemahiran bapanya itu.
J Lawrence Dev, 36, kini merupakan antara pembuat kavadi terkenal di Ipoh dan menjadi bualan dalam kalangan penganut hindu bagi membuat tempahan setiap kali menjelang perayaan Thaipusam.
Menurut bapa kepada dua anak lelaki itu, dia mula berjinak-jinak mengenali dan berminat dengan pembuatan kavadi setelah mengikuti bapanya yang juga seorang pembuat kavadi sejak berusia 12 tahun.
Pemilik Maharaj Event Designer itu berkata, minat mendalam terhadap kerja seni ini membolehkannya menghasilkan kavadi pertama ketika berusia 16 tahun dan daripada situ hobinya diteruskan sehingga kini.
Bercakap kepada MG Perak, Dev berkata, dia bersama rakan-rakannya yang menubuhkan The Kavadi Masters (TKM) aktif menghasilkan kavadi sejak 20 tahun lalu bersama kumpulan tersebut yang disertai 40 orang.
Katanya, rekaan kavadi yang dihasilkan menggabungkan unsur moden dan tradisional dengan mengekalkan ciri utama kavadi iaitu bulu merak serta kayu.
“Sebenarnya, material yang wajib digunakan untuk menghasilkan kavadi adalah bulu merak dan kayu kerana perlu ada sekurang-kurangnya satu barang hidup.
“Selain membawa kavadi, turut diadakan perarakan ‘paal koodam’ membawa periuk susu, aktiviti sembahyang dan perarakan kereta kuda yang dilakukan untuk menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan,” katanya.
Stirofoam material utama kavadi mudahkan pembawanya
Ditanya mengenai bahan utama dalam menghasilkan kavadi Dev berkata, dia menggunakan stirofoam memandangkan ia amat praktikal selain cukup ringan untuk pembawa kavadi.
Katanya, pembuatan kavadi menggunakan stirofoam juga cukup terkenal di Ipoh sejak tiga generasi lalu setiap kali meraikan perayaan Thaipusam.
Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, stirofoam kebiasaannya didatangkan dalam pelbagai gred iaitu A, B, C dan seterusnya serta mengikut berat.
“Penggunaan stirofoam juga lebih mudah untuk melakukan ukiran dan bentuk hanya menggunakan pemotong elektrik atau pisau. Jika guna kayu, kami kena pakai pahat dan alat lain untuk mendapatkan bentuk yang dikehendaki.
“Selain itu, cat berasaskan air yang digunakan untuk melukis mural adalah perwarna menghiasi kavadi supaya kelihatan lebih cantik dan ceria,” ujarnya.
Tambahnya, lampu diod pemancar cahaya (LED) juga dipasang bagi menyerlahkan lagi kavadi terutamanya pada waktu malam.
Harga kavadi boleh cecah RM50,000
Penghasilannya yang memerlukan kreativiti serta bergantung kepada rekaan menjadikan harga kavadi mencecah sehingga RM50,000.
Menurut Dev, kebiasaannya harga kavadi bermula serendah RM350 sehingga RM50,000, namun ia bergantung kepada rekaan dan saiz yang ditempah pelanggan.
Ujarnya, tempahan paling kecil yang pernah diterimanya adalah kavadi asas untuk kanak-kanak berharga RM350 dan kos minimum untuk menghasilkan kavadi biasa pula bernilai sekitar RM3,000.
“Tempoh masa untuk menghasilkan kavadi bergantung kepada rekaan dan lazimnya, ia boleh disiapkan sekitar dua minggu atau ada yang sampai satu bulan.
“Kami mula membuat kavadi seawal Jun tahun lalu berdasarkan tempahan. Pelanggan yang sudah beri deposit kami akan beli barang dan bila ada masa terluang kami akan mulakan kerja,” katanya.
Dari segi reka bentuk kavadi, dia berkata, lazimnya pelanggan akan memberikan lakaran asas tetapi dia sendiri akan menyiapkan rekaan kavadi itu sepenuhnya.
Dalam pada itu, Dev berkata, dia pernah menghantar kavadi kepada pelanggan di Singapura malah ada juga pelanggan dari Australia yang menempahnya dari kami.
“Ada juga pelanggan dari Mauritius dan Afrika Selatan melihat Facebook TKM, serta cuba untuk melakukan tempahan.
“Bagaimanapun, kami mengambil keputusan untuk menolak tempahan tersebut kerana untuk eksport barang kosnya agak tinggi, jadi sampai sekarang kami tak buat,” jelasnya.
Pernah rugi sewaktu Covid-19
Menceritakan cabaran sebagai pembuat kavadi, Dev berkata setiap perniagaan mempunyai halangan dan rintangannya tersendiri dan dia juga tidak terlepas dari berhadapan perkara sedemikian.
Katanya, ujian paling getir pernah dihadapinya adalah sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa sewaktu pandemik Covid-19 melanda pada 2020.
Menurutnya, amalan membawa kavadi tidak dibenarkan semasa perayaan Thaipusam bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.
“Cabaran yang dihadapi masa PKP adalah apabila pelanggan telah membayar deposit, barang sudah beli dan akhirnya kavadi yang dihasilkan tidak boleh digunakan.
“Saya tidak mampu untuk membayar rakan-rakan yang membantu dalam menyiapkan kavadi tersebut sehingga terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membayar mereka.
“Bagaimanapun, sejak tahun lalu pengusaha kembali untuk menghasilkan kavadi kerana tiada sekatan pergerakan dikenakan terhadap Thaipusam dan penganut sudah boleh membayar nazar dengan pembawa kavadi,” ujarnya.
Ujar Dev, tahun ini membawa kelegaan kepada dirinya apabila tidak menang tangan menerima tempahan kavadi sejak Jun 2023 dan kini sedang giat menyiapkan 12 tempahan kavadi.
“Selain itu saya juga sedang menyiapkan ‘chariot’ (kereta kuda) yang diterima menerusi tempahan pelanggan sejak Jun tahun lalu,” katanya.
Perayaan Thaipusam yang pada 25 Januari ini akan disambut di Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh dijangka dihadiri ribuan penganut beragama Hindu bagi memperingati kelahiran Dewa Murugan.
Sebahagian penganut Hindu yang menunaikan nazar akan membawa kavadi bagi menebus diri mereka daripada dosa. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MGPerak: 24 Tahun Bergelar Pembuat Kavadi, Dev Warisi Kemahiran Bapa
[…] 24 tahun bergelar pembuat kavadi, Dev warisi kemahiran bapa […]
[…] 24 tahun bergelar pembuat kavadi, Dev warisi kemahiran bapa […]