BERGELAR sebagai pendidik lebih 24 tahun banyak membantu Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah sepanjang setahun menjawat portfolio berkenaan dalam memperkasakan pendidikan di negeri ini.
Malah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja itu menyifatkan kepercayaan yang diberikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, untuk beliau menerajui portfolio Pendidikan dan Pengajian Tinggi itu sebagai tanggungjawab besar yang perlu digalas bagi memastikan Perak terus berada di hadapan dalam bidang pendidikan.
Menurut Khairudin, beliau percaya amanah dan tanggungjawab yang cukup besar diberikan kepadanya itu dibuat berdasarkan pengalamannya sebagai seorang pendidik dan pernah memegang jawatan sebagai guru besar di tiga buah sekolah di Perak.
Ikuti temubual eksklusif Editor MG Perak, Mohamad Hafizi Mohd Said bersama Juruvideo, Firdaus Nazmi Hussin dan Jurugambar, Abdullah Yusof, bersama Khairudin yang sudi berkongsi pengalaman dan kejayaan beliau di dalam bidang pendidikan dan pengajian tinggi sepanjang setahun dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Perak.
Setelah dilantik menerajui portfolio Pendidikan dan Pengajian Tinggi di Perak apa perancangan pertama YB (Yang Berhormat) ketika itu?
Apabila saya diberi amanah sebagai Exco Pendidikan dan Pengajian Tinggi, pertama sekali mendapatkan maklumat daripada pihak-pihak berkaitan khususnya Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan institut pengajian tinggi (IPT) untuk kita melihat kekuatan dan kelemahan khususnya dalam memastikan pencapaian bagi pendidikan di negeri ini dapat ditingkatkan bersama.
Ini kerana, untuk mendapatkan prestasi yang baik kita memerlukan kerjasama dan kolaborasi yang cukup tinggi daripada semua pihak di mana JPN Perak serta IPT telah memberi kerjasama yang baik dengan memberi idea, pandangan dan juga kaedah-kaedah yang boleh kita laksanakan bagi memastikan pendidikan di negeri ini dapat ditingkatkan.
Seperti yang sedia maklum kriteria atau pencapaian dalam peperiksaan awam merupakan salah satu elemen yang boleh dikatakan sebagai penanda aras untuk melihat pencapaian bagi sesebuah negeri dan jabatan pendidikan.
Maka semasa saya mengambil amanah dan tanggungjawab berkaitan perkara ini saya telah mendapat kerjasama yang baik dan telah diberi penerangan terperinci oleh pihak pengurusan tertinggi jabatan untuk kita sama-sama memacu kecemerlangan di peringkat negeri.
Alhamdulillah saya mendapat kerjasama yang cukup baik daripada semua pihak dan hasilnya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang lalu, Perak berjaya meningkatkan prestasi pencapaian SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
Di awal penjawatan sebagai Exco Pendidikan dan Pengajian Tinggi apa yang YB lihat dalam sistem pendidikan di peringkat sekolah mahupun pengajian tinggi di negeri ini yang memerlukan pemerhatian khusus?
Apa yang saya lihat antara cabaran bagi kedua-dua sekolah rendah dan menengah ini adalah dari segi kedatangan murid kerana setiap sekolah diberi petunjuk prestasi utama (KPI) oleh Kementerian Pendidikan (KPM) sebanyak 95 peratus kehadiran.
Bukan semua sekolah mampu mencapai KPI tersebut disebabkan pelbagai faktor kehadiran pelajarnya, sama ada dari segi diri pelajar itu sendiri, masalah keluarga dan sebagainya, yang menjadi penghalang untuk kita memastikan anak-anak mendapatkan pendidikan sewajarnya di sekolah rendah atau menengah.
Kita juga mahu memastikan pelajar sekolah rendah dapat menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) dan itu yang sedang saya usahakan supaya apabila mereka menamatkan persekolahan semuanya dapat menguasi kemahiran 3M dengan baik.
Di peringkat sekolah menengah pula, kita memberi tumpuan untuk pelajar-pelajar layak memperoleh sijil SPM dengan lulus subjek Bahasa melayu dan Sejarah bagi digunakan untuk melanjutkan pelajaran atau mendapatkan pekerjaan.
Cabaran kelas peralihan di sekolah menengah juga memerlukan bimbingan khusus di mana pelajar-pelajar ini memerlukan pengajaran dan pembelajaran bertumpu supaya mereka dapat menguasai pemahaman dan menganalisis dengan baik.
Bagi peringkat pengajian tinggi kebanyakan universiti menawarkan pelbagai kursus tetapi kita juga kena memikirkan apa kursus yang bersesuaian dengan kehendak semasa dan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan keutamaan masa sekarang. Kalau itu ruang dan peluang saya harapkan pihak universiti kena memikirkan kursus-kursus yang bersesuaian dengan kehendak pemain-pemain industri.
22 November lalu genap setahun YB memegang portfolio Pendidikan dan Pengajian Tinggi, apakah perubahan dan kejayaan yang telah dicapai dalam tempoh setahun?
Kalau dari segi kejayaan diperingkat pendidikan kita ukur dari segi pencapaian warga pendidik di Perak yang cukup banyak, antaranya pencapaian peperiksan awam, guru ikon dan pencapaian dalam bidang sukan di peringkat Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN).
Untuk makluman Perak berada di kedudukan ketiga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) baru-baru ini berbanding ditempat kelima tahun lalu.
Bagi bidang sukan kita juga meneruskan program pembangunan sukan kerana bakat sukan ini perlu dipupuk daripada awal dan pihak JPN Perak mendapat kerjasama yang baik dari kerajaan negeri. Ini kerana ada di kalangan pelajar sekolah berada di dalam senarai panjang untuk pasukan Sukma 2024, ini kejayaan perlu diharungi bersama.
Dari segi pengajian tinggi pula kita lihat banyak kejayaan diraih oleh universiti seperti Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Mara (UITM) di Perak yang cukup baik dan berjaya mengangkat martabat pengajian tinggi di Perak.
USAS khususnya yang saya lihat cukup berkembang dengan baik dari segi pencapaian, kemasukan pelajar yang bertambah dan sebagainya. Itu antara pencapaian yang boleh kita tingkatkan lagi dari masa kesemasa dengan adanya komitmen dan kerjasama semua pihak.
Perancangan YB dalam memperkasakan pendidikan dan pengajian tinggi di Perak selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030.
Dalam Pelan Perak Sejahtera 2030, kita ada tajuk melahirkan modal insan jadi antaranya mestilah bermula daripada pendidikan dan juga belia. Dari pendidikan kita ada program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) dan saya lihat ia memberi impak yang besar khususnya dari segi pencapaian pelajar, mahasiswa dan sebagainya.
Dari segi mahasiswa dalam program TCS ada program bantuan sara diri mahasiswa yang diperuntukan sebanyak RM2 juta oleh kerajaan negeri untuk diberi kepada golongan berkenaan di IPT yang sedang melanjutkan pelajaran dengan memberi wang saku RM500 dan sebagainya.
Kita juga sedang merancang dan melaksanakan program tuisyen atas talian untuk pelajar-pelajar SPM dan tingkatan empat selain merancang untuk memberi tumpuan memperkasakan pendidikan di sekolah agama rakyat bermula 2024.
Kita ada Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) yang kita lihat sebagai salah satu elemen yang perlu anak-anak kita duduki dan mendapat keputusan yang baik untuk mereka berada di sekolah menengah agama dan sebagainya. Selaras dengan itu kita akan cuba masukan elemen UPKK juga di dalam program TCS selain program lain yang kita laksanakan.
Dari segi pengajian tinggi kita akan teruskan dengan program bantuan sara diri, insentif siswa Yayasan Perak dan kita juga bersama Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) berdasar bajet sedia ada akan edarkan baucer buku kepada lebih kurang 400 pelajar untuk mereka gunakan baucer ini sebagai persediaan awal menghadapi kuliah dan sebagainya.
Kita juga akan memperkasakan pendidikan bagi murid orang asli memandangkan mereka berada di kawasan tertentu dan mudah untuk bersama mereka melaksanakan program, aktiviti dan sebagainya termasuk memastikan kehadiran mereka ke sekolah dan dapat menguasai kemahiran asas.
Harapan YB terhadap pendidikan dan pengajian tinggi di Perak?
Saya mengharapkan semua warga pendidik akan melaksanakan tugas dan amanah sebaik mungkin kerana bak kata pepatah ‘pelajar ibarat kain putih, yang akan mencorak mestilah seorang guru’. Maka saya mengharapkan semua guru yang berada di Perak dapat memberi perkhidmatan yang cukup baik dengan memberi ilmu, maklumat, didikan, asuhan, dokongan dan dorongan kepada pelajar supaya mereka menjadi pelajar cukup berwibawa dan cemerlang dalam semua aspek.
Saya juga berharap kita seiring sejalan, seia sekata dengan kepimpinan kerajaan negeri, pentadbiran pusat agar segala dasar dan perancangan yang disusun dapat pertimbangan dan sokongan semua pihak.
Komitmen dari guru, tenaga pengajar, mahasiswa dan pensyarah juga diperlukan untuk memastikan pengajian tinggi dan pendidikan di Perak memperolah maklumat yang baik. Saya faham bukan mudah untuk membentuk seorang insan yang cukup hebat dalam semua segi tetapi saya yakin dan percaya dengan komitmen bersama kita mampu mampu merealisasikannya.
Harapan saya terakhir agar kita dapat berganding bahu bukan setakat guru tetapi semua pihak termasuklah awam, swasta dan korporat bersama-sama memartabatkan pendidikan di Perak kerana ia adalah hak bersama untuk kita bantu melonjak pencapaian semua pelajar dan mahasiswa. -MG Perak
ARTIKEL BERKAITAN:
MGPerak: 24 Tahun Bergelar Pendidik, Khairudin Perkasa Pendidikan Di Perak
MGPerak: 24 Tahun Bergelar Pendidik, Khairudin Perkasa Pendidikan Di Perak
[…] 24 tahun bergelar pendidik, Khairudin perkasa pendidikan di Perak […]
[…] 24 tahun bergelar pendidik, Khairudin perkasa pendidikan di Perak […]
[…] 24 tahun bergelar pendidik, Khairudin perkasa pendidikan di Perak […]
[…] 24 tahun bergelar pendidik, Khairudin perkasa pendidikan di Perak […]