3 warga Pakistan maut dalam perjalanan tunai solat sunat Aidilfitri

TELUK INTAN – Hasrat tiga lelaki warga Pakistan dalam perjalanan hendak menunaikan solat sunat Aidilfitri bertukar tragedi apabila mereka dirempuh sebuah kereta sehingga maut di bahu jalan di kilometer (km) 16 Jalan Teluk Intan – Bidor, dekat sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada jam 8.10 pagi.

Katanya, hasil siasatan di lokasi mendapati, sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu seorang warga tempatan berusia 36 tahun telah hilang kawalan sebelum terbabas di bahu jalan.

“Ia kemudian terlanggar enam individu pejalan kaki yang melalui bahu jalan tersebut.

“Akibat daripada kemalangan tersebut tiga warga Pakistan dalam lingkungan umur 20 tahun hingga 35 tahun telah disahkan meninggal dunia, manakala tiga lagi cedera parah dan dirawat di Hospital Teluk Intan,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Ujar Ahmad Adnan, hasil pemeriksaan juga mendapati ketiga-tiga mangsa mempunyai permit dan dokumen perjalanan yang sah.

Jelas beliau, ketika kejadian kesemua mangsa itu dalam perjalanan dari kediaman menuju ke masjid berhampiran untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Tambah beliau lagi, susulan insiden itu pihak polis menahan pemandu kereta berkenaan untuk siasatan lanjut.

Kata Ahmad Adnan, hasil ujian saringan air kencing terhadap pembantu kedai itu mendapati suspek positif dadah jenis THC atau ganja.

Ekoran itu ujar beliau, polis menahan kenderaan terlibat bagi pemeriksaan PUSPAKOM.

“Siasatan kemalangan jalan raya itu telah dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memandu semasa di bawah pengaruh dadah dan menyebabkan kematian.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengenalpasti punca sebenar kemalangan berlaku dan pemandu kereta akan direman di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Khamis,” katanya lagi. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Tiga sekeluarga jual lemang nyaris maut dirempuh X70

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI