320 pelajar ikuti Klinik Seni Budaya Tarian Dabus

TELUK INTAN – Seramai 320 pelajar melibatkan enam buah sekolah sekitar Teluk Intan mengikuti Klinik Seni Budaya Tarian Dabus-Program Citra Warisan Budaya Cempaka Sari yang berlangsung selama dua hari bermula semalam dan hari ini.

Klinik itu dijalankan secara serentak di sekolah masing-masing melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent, SMK Seri Setia, SMK Raja Muda Musa, SMK Sultan Abdul Aziz, SMK Abdul Rahman Talib dan SMK Kampung Bahagia.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak, Abd Rashid Abdullah berkata, penglibatan pelajar tersebut adalah sebagai persediaan bagi aktiviti utama yang akan diadakan pada Temasya Budaya @ Negeri Perak 2024 di Dataran Menara Condong di sini dari 27 hingga 30 Jun ini.

“Klinik yang dilaksanakan di sekolah-sekolah ini adalah usaha untuk memperkenalkan seni tarian dabus kepada golongan muda.

“Kita perlu memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar terbabit supaya seni tari ini tidak dilupakan dan menjadi sebahagian daripada identiti budaya yang diwarisi oleh generasi akan datang.

“Menerusi pengenalan awal ini, kita berharap golongan muda dapat menghargai, mempelajari dan seterusnya memelihara seni tarian dabus, sekali gus memastikan kelestarian warisan budaya ini terjamin untuk masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, usaha tersebut turut mendapat sokongan padu daripada pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Pejabat Pendidikan Daerah Hilir Perak, Persatuan Kebudayaan Daerah Kinta dan Persatuan Kebudayaan Daerah Hilir Perak.

“Dalam pada itu, kita amat berbesar hati menerima perkongsian ilmu daripada satu-satunya pewaris Dabus-Yong Timah (Kumpulan Kesenian Dabus Tanjung Bidara, Batu Gajah) yang turut turun padang bagi berkongsi ilmu kepada generasi muda,” ujarnya.

Dabus asalnya adalah seni mempertahankan diri yang mengutamakan kepahlawanan, kecerdasan, ketangkasan, dan keperwiraan yang kini menjadi tarian tradisional Perak serta telah bertahan lebih 300 tahun. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak bantu penggiat seni lebih RM1 juta menerusi DKP@Port 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI