IPOH – Program Jualan Rahmah (PJR) Aidilfitri yang akan berlangsung di 39 lokasi seluruh Perak menawarkan potongan harga sehingga 30 peratus kepada para pengguna.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, insiatif itu bagi menyahut saranan untuk melaksanakan PJR menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Menurut beliau, program tersebut bermula pada 4 hingga 8 April ini dan orang ramai boleh menyemak lokasi PJR di Perak menerusi laman web atau media sosial seperti Facebook dan Tiktok KPDN Perak.
“Kita jual lebih kurang barang-barang daripada (barangan) jualan rahmah, tatapi kita tambah lagi untuk keperluan hari raya.
“Barang-barang basah dan bahan kering, seperti ayam, daging lembu, rempah ratus dan keperluan memasak, kita akan tambah lagi untuk keperluan hari raya dan jual dalam PJR,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada Program Sesi Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024, di Aeon Kinta City di sini, pada Jumaat.
Program turut dihadiri Exco Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina, Woo Kah Leong.
Terdahulu, beliau berkata, KPDN Perak mencatatkan sebanyak 179 Program Jualan Rahmah telah dilaksanakan seluruh negeri tersebut, dari Januari ke Mac 2024.
Menurut beliau, Pelaksanaan tersebut merupakan usaha untuk membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup, malah program ini telah memberi manfaat kepada 24,000 isi rumah. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Harga ayam tetap dipantau walau tiada dalam Skim Harga Maksimum Aidilfitri