BATU GAJAH – Kira-kira 400 peminat motosikal menyertai Perak Bike Week 2023 yang diadakan bersempena Sambutan Ambang Tahun Baharu 2024 di Silveritage Village Outlet, di sini, pada Sabtu.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, sebelum ini, acara Perak Bike Week pernah dianjurkan pada 2017, namun tidak diteruskan akibat pandemik Covid-19.
Menurut beliau, kerajaan negeri cuba ‘menghidupkan’ semula program ini supaya menjadi salah satu acara dalam kalendar Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 dan akan diteruskan pada masa akan datang.
Katanya, antara satu sebab Perak Bike Week ini dianjurkan adalah untuk menarik peminat-peminat motosikal dari negeri lain untuk datang sendiri melihat keindahan negeri ini.
“Program ini juga adalah inisiatif yang baik mengumpulkan kumpulan motosikal semata, tetapi membawa matlamat untuk menarik, menghebahkan dan merasai pengalaman berada di lokasi-lokasi pelancongan di Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perak Bike Week 2023 dengan kerjasama Royal Enfield Perak Owner Club (REPOC) di Silveritage Village Outlet, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa dan Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah, Mohamad Razif Ramli.
Menyentuh mengenai sambutan ambang tahun baharu yang akan disambut malam esok, Sze Yee berkata, sasaran 20,000 pengunjung mungkin dapat dicapai kerana pengunjung dijangka akan memeriahkan program tersebut pada malam 31 Disember ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak jangka lebih 20,000 pengunjung hadir pelancaran TMP 2024