534 wanita di Perak positif HPV DNA sejak 2019 – Exco

MANJUNG – Sebanyak 543 daripada 9,350 sampel wanita yang menjalani ujian virus papiloma manusia (HPV) sejak 2019 sehingga 2023 di Perak, didapati positif HPV DNA.

Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, dua daripada jumlah berkenaan turut didapati positif kanser serviks.

Beliau berkata, justeru itu, Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) yang merangkumi saringan ujian mamogram (payudara) dan saringan ujian HPV DNA (serviks) akan terus dipergiatkan sepanjang 2024.

“Usaha berterusan dilakukan oleh pihak Kerajaan dalam membantu wanita memerangi gejala penyakit kanser serviks melalui Kempen WCaRe.

“Kempen ini mensasarkan seramai 57,000 orang wanita seluruh negara mendapat manfaat daripada Program Saringan Kanser Serviks (Ujian HPV DNA) secara percuma bagi tahun 2024 dan sebanyak 3500 kouta telah dikhususkan untuk wanita di Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Gempur Saringan HPV DNA Sempena Bulan Kesedaran Kanser Serviks Kebangsaan di Hospital Pantai di sini, pada Khamis.

Tambah Salbiah, pihak LPPKN juga akan menambah jumlah kuota Ujian HPV DNA sekiranya ia melebihi daripada yang diperuntukkan dalam usaha memastikan tiada wanita tercicir mendapat manfaat yang sewajarnya.

“Justeru, sempena Bulan Kesedaran Kanser Serviks, kempen dan promosi giat dijalankan dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang bahaya kanser serviks.

“Ia sekaligus menggalakkan lebih ramai wanita termasuk di negeri Perak ini sama ada yang berkahwin atau pernah berkahwin untuk menjalani pemeriksaan awal kanser serviks,” katanya.

Katanya lagi, kesihatan seseorang wanita sangatlah penting memandangkan golongan berkenaan merupakan tunjang keluarga.

“Wanita yang sihat akan melahirkan keluarga yang bahagia dan negara yang sejahtera,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan: 

Kesejahteraan rakyat diterjemahkan menerusi belanjawan – Salbiah

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI