IPOH – Sebanyak 62 kenderaan barangan dikesan gagal mematuhi penguatkuasaan Larangan Pemanduan atau ‘Road-Ban’ Hari Raya Aidilfitri pada hari pertama pelaksanaanya pada Sabtu.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, susulan itu pihaknya mengeluarkan 41 notis saman di samping 21 kenderaan barangan ditahan mengikut Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jelas beliau, penguatkuasaan Larangan Pemanduan Ke Atas Kenderaan Barangan berlangsung selama empat hari iaitu pada 29 dan 30 Mac, serta 5 dan 6 April sempena Hari Raya Aidilfitri.
“Pihak JPJ ingin mengingatkan kepada semua pemilik dan pemandu kenderaan barangan supaya mematuhi larangan pemanduan tersebut.
“Tindakan akan diambil sekiranya terdapat kenderaan yang gagal mematuhi larangan itu di bawah Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM300 atau denda di mahkamah tidak melebihi RM 2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Pemantauan dan Pemeriksaan Bas JPJ di Terminal Meru Raya, dekat sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan.
Sebanyak 49 bas ekspres di Terminal Meru Raya terlibat dalam pemeriksaan JPJ dengan kesemuanya didapati mematuhi peraturan dan spesifikasi teknikal yang ditetapkan sebelum memulakan perjalanan.
Dalam perkembangan sama Aedy Fadly berkata, pihaknya juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana kenderaan dan pemandu yang tidak mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
Justeru beliau memberitahu, sebanyak 15,217 kenderaan telah dikenakan tindakan hasil pemeriksaan 122,655 kenderaan pada Ops Khas Khas Hari Raya Aidilfitri 2025 yang bermula sejak 24 Mac lalu.
“Dalam tempoh setakat 29 Mac, sebanyak 32,031 notis pelbagai kesalahan telah dikeluarkan dengan 236 kenderaan dikenakan tindakan sita,” katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan JPJ melaksanakan penguatkuasaan Larangan Pemanduan ke atas Kenderaan Barangan sempena sambutan Aidilfitri selama empat hari iaitu masing-masing dua hari sebelum dan selepas perayaan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, larangan itu dilaksanakan mengambil kira peningkatan trafik ketara bagi kenderaan persendirian yang pulang ke kampung halaman, selain mengurangkan risiko nahas jalan raya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: