KUALA LUMPUR – Sebanyak 6,581 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan sepanjang 2025, dengan 4,542 kes atau kira-kira 66 peratus membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.
Angka itu mendedahkan betapa seriusnya risiko keselamatan jalan raya di negara ini, meskipun pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan peningkatan penguatkuasaan terus dilaksanakan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kementeriannya kini memberi tumpuan kepada intervensi yang mampu mencegah kemalangan maut, bukan sekadar meningkatkan jumlah operasi penguatkuasaan atau saman yang dikeluarkan.
Beliau berkata, antara risiko utama yang dikenal pasti ialah pemanduan melebihi had laju, kenderaan perdagangan membawa muatan berlebihan, keselamatan penunggang motosikal serta lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi atau black spot.
“Cabaran utama kita bukan sekadar bilangan kesalahan trafik, tetapi bagaimana intervensi kerajaan dapat mencegah risiko kemalangan maut,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen PH-Labis Pang Hok Liong yang meminta penjelasan mengenai punca kadar kematian jalan raya masih tinggi walaupun undang-undang telah dipinda beberapa kali dan penguatkuasaan dipertingkatkan, selain sasaran terukur kerajaan untuk mengurangkan kematian menjelang 2030.
Dalam pada itu, Loke juga berkata, antara langkah yang sedang dipergiatkan ialah peluasan penggunaan Sistem Kesedaran Keselamatan Automatik (AwAS) dan teknologi Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR).
“Langkah itu bagi memastikan penguatkuasaan terhadap kesalahan memandu melebihi had laju dilaksanakan secara lebih konsisten.
“Lokasi pemasangan baharu turut dinilai berdasarkan data kemalangan dan tahap risiko, manakala penggunaan peranti pengehad kelajuan atau speed limitation device (SLD) dilaksanakan secara berfasa bagi kenderaan perdagangan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, katanya, Kementerian Pengangkutan memperkenalkan penggunaan teknologi telematik secara berperingkat, bermula dengan penyertaan sukarela lima syarikat penyedia perkhidmatan.
“Teknologi itu bukan sahaja membolehkan lokasi kenderaan dikesan, malah membantu mengenal pasti tingkah laku pemanduan berisiko seperti memandu melebihi had laju, membrek secara mengejut dan memandu secara agresif.
“Data berkenaan boleh digunakan untuk mengawal selia pengendali kenderaan serta menentukan keperluan latihan semula pemandu bagi meningkatkan tahap keselamatan,” katanya.
Bagi menangani masalah kenderaan perdagangan membawa muatan berlebihan, katanya, kementerian turut memperkenalkan teknologi high speed weigh-in-motion (HS-WIM).
“Teknologi ini membolehkan pemantauan muatan dilakukan tanpa perlu mengarahkan setiap kenderaan berhenti di stesen penguatkuasaan.
“Pendekatan itu membolehkan pemantauan dilaksanakan secara lebih meluas dan berterusan di lokasi strategik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


