BAGAN SERAI – Seramai 702 pesawah di Perak boleh menarik nafas lega selepas menerima bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) berjumlah RM812,081 susulan banjir dan kemarau dihadapi mereka tahun lalu.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, bencana itu menjejaskan sawah di kawasan seluas 778.15 hektar dengan melibatkan daerah Hilir Perak, Kerian dan Perak Tengah.
“Seramai 465 orang pesawah di jelapang padi negeri di Kerian telah menerima bantuan bernilai RM412,534 melalui inisiatif TBTP.
“Manakala, seramai tiga orang penerima di bawah bantuan Tabung Bencana Pertanian (TBP) dengan jumlah bantuan sebanyak RM6,000 di daerah sama.
“Sementara kemarau yang melanda di Kerian pada tahun lalu telah menjejaskan sawah seluas 470.93 hektar, manakala 0.7 hektar telah terjejas akibat banjir bagi lain-lain tanaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) Negeri Perak Zon Kerian Tahun 2025 di Dewan Komuniti Bagan Serai, pada Isnin.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pertanian Perak, Norsiyenti Othman serta Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Perak, Datuk Sham Mat Sahat.
Tambah Mohd Zolkafly, bantuan Kerajaan Perak yang disalurkan melalui Jabatan Pertanian Negeri dengan kerjasama LPP itu turut diberikan kepada 110 petani dan penternak melibatkan sub sektor tanaman makanan, ternakan dan akuakultur.
Ujar beliau, bantuan melalui TBP berjumlah RM1.411 juta itu juga sebagai usaha kerajaan negeri dalam meringankan beban mereka yang terjejas dengan bencana alam.
Dalam pada itu beliau berkata, faktor perubahan iklim menjadi salah satu cabaran besar dalam sektor pertanian yang memberi kesan langsung kepada pengeluaran hasil tanaman dan kestabilan rantaian makanan.
“Namun begitu, kerajaan negeri dan Persekutuan cakna dengan perkara ini dan mewujudkan inisiatif Tabung Bencana.
“Ia merupakan usaha bagi membantu para petani dan pesawah untuk merancakkan semula aktiviti pertanian yang mereka laksanakan bagi memastikan aspek keterjaminan makanan terus diperkasa,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: