Mekanik terlepas hukuman mati

IPOH – Seorang mekanik terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi Ipoh, pada Rabu melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah dan memiliki racun, empat tahun lalu.

Hakim, Datuk Bhupindar Singh membuat keputusan berkenaan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, S Raja, 49, pada akhir kes pendakwaan.

Raja sebelum itu berhadapan dengan dua pertuduhan iaitu didakwa mengedar dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran berat 76.68 gram serta didakwa memiliki racun Nitrazepam seberat 4.14 gram.

Kedua-dua dilakukan dalam sebuah bilik di sebuah rumah di Persiaran Sungai Pari Timur 14, Taman Mas Falim dekat sini kira-kira 8 malam, pada 22 November 2020.

Pertuduhan mengedar dadah dibaca mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta yang sama.

Manakala bagi pertuduhan memiliki racun, bapa kepada dua anak itu dituduh mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 (Disemak 1989) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 30(5) Akta yang sama.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khazrin Haffiz Khalil manakala tertuduh diwakili peguam, J. Matthews serta Farhan Fadzil.

Mahkamah memerintahkan agar semua barang kes peribadi milik tertuduh dipulangkan kepadanya, sementatra semua barang kes pendakwaan selainnya dipulangkan kepada pegawai penyiasat ke untuk dilupuskan.

Terdahulu, Bhupindar berkata, pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kepemilikan beg hitam yang ditemukan di lokasi serbuan sekaligus telah menimbulkan keraguan bagi pemilikan beg berkenaan.

Ujar beliau, beg hitam itu kemungkinan milik seorang lelaki dikenali Kishore Kumar yang telah datang ke rumah tertuduh pada 21 November 2020 dan keluar sehari kemudian antara pukul 3.30 hingga 4.30 petang.

“Kishore Kumar telah ditangkap pada 22 November 2020 pada 5.45 petang di tepi Jalan Panglima Bukit Gantang, di sini, namun tiada dadah yang dijumpai sebelum serbuan dijalankan di rumahnya yang turut tidak menemukan dadah.

“Berdasarkan keterangan pendakwaan, jelas Kishore Kumar mempunyai akses ke bilik di mana beg hitam dijumpai.

“Bagaimanapun, Kishore Kumar tidak dipanggil sebagai saksi oleh pihak pendakwaan dan ini menyebabkan terdapat kelompongan dalam kes pendakwaan,” katanya.

Tambah Bhupindar, mahkamah juga mendapati, pihak pendakwaan telah mengemukakan dua keterangan berbeza apabila keterangan saksi pendakwaan ke-6 (SP-6) iaitu pegawai tangkapan bercanggah dengan keterangan pegawai tangkapan SP-7.

“Selain itu, mahkamah juga mendapati pegawai penyiasat kes atau SP-8 telah menjalankan siasatan secara sambil lewa apabila tidak merakam percakapan saksi lain serta tidak mempunyai pengetahuan mengenai Kishore Kumar,” katanya.

Seramai lapan saksi dipanggil pihak pendakwaan untuk memberi keterangan sejak perbicaraan kes itu bermula pada tahun lalu. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Bebas tuduhan memiliki, edar dadah, suami isteri terlepas hukuman gantung

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI