IPOH – Kementerian Pendidikan (KPM) sedia mempertimbangkan cadangan menangguh semua aktiviti luar bilik darjah sekiranya cuaca panas ekoran fenomena El Nino ketika ini semakin buruk.
Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata, bagaimanapun ia bergantung kepada penilaian keadaan atau situasi cuaca semasa.
Jelas beliau, KPM mahu memastikan tiada sebarang perkara di luar jangka berlaku khususnya membabitkan kesihatan pelajar di sekolah.
“KPM akan terus berkolaborasi dan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memantau keadaan cuaca dan juga status kesihatan anak-anak kita.
“Di samping itu, dari semasa ke semasa kita juga akan memberikan panduan kepada pihak sekolah (berhubung perkara ini) bergantung kepada keperluan. Keutamaan kita adalah kebajikan dan kesihatan anak-anak murid dan pelajar kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika meninjau hari pertama sesi persekolahan tahun ini di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Tanjung Rambutan di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak, A. Sivanesan; Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Mohamad Fauzi Mahson serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad.
Dalam pada itu, Kah Woh mengulangi bahawa, garis panduan sedia ada berhubung pemakaian pakaian seragam pelajar pada sesi persekolahan masih terpakai dan diteruskan.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, guru dan ibu bapa dinasihatkan untuk memantau keadaan anak mereka semasa negara dilanda cuaca panas akibat fenomena El Nino ketika ini.
Pada 13 Februari media melaporkan, Malaysia dijangka mengalami cuaca lebih panas dan kering berbanding sebelum ini susulan ketiadaan hujan dalam tempoh lama.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dilaporkan memaklumkan, negara berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga penghujung Mac 2024. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Murid Kembar Tiga Curi Tumpuan Hari Pertama Sesi Persekolahan